Rabu, 16 March 2016 | 3:45pm

Malaysia tidak terbabit perangi militan di Yaman - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media di lobi Dewan Rakyat Bangunan Parlimen. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah terlibat dalam kerjasama ketenteraan untuk memerangi kumpulan ekstremis di Yaman dan Syria yang dipimpin Arab Saudi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam eksesais North Thunder (Raad al Shamal) baru-baru ini adalah atas jemputan julung kali pihak Arab Saudi berdasarkan hubungan bilateral kedua-dua negara yang berada pada tahap tertinggi.

"Latihan ini diadakan di utara Arab Saudi, sementara Yaman pula terletak di selatan sempadan Arab Saudi. Jelas sekali latihan ini tidak ada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan di Yaman ketika ini.

"Malaysia menyokong usaha membanteras kegiatan militan, namun ATM tak sanggup terlibat secara langsung dengan operasi ketenteraan di Yaman. Ia berbeza antara eksesais North Thunder ," katanya ketika menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, untuk menjadi sebuah pasukan tentera yang kredibel di rantau ini, ATM sentiasa mengambil kesempatan dan peluang melatih anggotanya dalam pelbagai situasi dan suasana yang membolehkan angkatan itu beroperasi dalam pelbagai keadaan.

Beliau berkata, matlamat penyertaan ATM dalam operasi North Thunder merangkumi empat laluan yang telah dibentang oleh pihak Arab Saudi iaitu bagi memastikan punca kewangan kumpulan pengganas Daesh dapat ditangani; membuat naratif balas kepada ideologi IS.

"Yang seterusnya membetulkan hubung kait komunikasi bagaimana media barat yang tidak menggambarkan wajah sebenar Islam dan terakhir ialah berdasarkan perkara ketenteraan," katanya.

Hishammuddin berkata, sehingga Februari lepas seramai 398 rakyat Malaysia masih berada di Yaman dengan 31 pegawai dan 56 anggota lain-lain pangkat berada di Riyadh, Arab Saudi.

Sementara itu, dalam sidang media di Lobi Parlimen, Hishammuddin berkata penyertaan Malaysia dalam eksesais itu tidak dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan kerana ia adalah eksesais biasa di mana ATM merancang untuk mengadakan 41 lagi eksesais tahun ini termasuk bersama negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

"Ia bukan perkara baharu, pendirian kita konsisten daripada dahulu bahawa ia tidak melibatkan operasi ketenteraan kita," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X