Jumaat, 24 Oktober 2014 | 6:36pm

Kerajaan terus komited bantu usahawan PKS - SME Corp

KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Datuk Hafsah Hashim (kiri) bersama pemilik syarikat, Fatimah Hamid melihat produk pelbagai jenis keropok lekor yang dipaket untuk dikomersial pada perasmian kilang keropok lekor syarikat Rosfaniaga Services Sdn Bhd di Jalan Bako, Kuching. - Foto BERNAMA
KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Datuk Hafsah Hashim (kiri) bersama pemilik syarikat, Fatimah Hamid melihat produk pelbagai jenis keropok lekor yang dipaket untuk dikomersial pada perasmian kilang keropok lekor syarikat Rosfaniaga Services Sdn Bhd di Jalan Bako, Kuching. - Foto BERNAMA

KUCHING: Sehingga 30 September tahun ini, sebanyak 37,409 permohonan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diluluskan bagi menerima pelbagai jenis bantuan kewangan bernilai keseluruhan RM4,090.44 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,085 permohonan dengan nilai bantuan RM160.32 juta adalah untuk usahawan PKS Sarawak.

"Daripada jumlah itu pula RM135.80 juta diluluskan di bawah skim pinjaman mudah untuk PKS," katanya ketika berucap merasmikan kilang keropok lekor Rosfaniaga Services Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan terus komited membantu usahawan PKS dan ini dibuktikan menerusi peruntukan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 10 0ktober lalu.

"Bajet 2015 menyediakan ruang dan peluang yang besar untuk PKS meningkatkan kualiti produk, khususnya syarikat-syarikat dan kilang-kilang kecil yang masih jauh ketinggalan serta tidak mempunyai tahap kapasiti dan keyakinan tinggi untuk bersaing," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa usahawan PKS merebut pelbagai peluang serta inisiatif yang ditawarkan kerajaan bagi meningkatkan perniagaan mereka.

Menurut Hafsah ketika ini PKS menyumbang sekitar 33 peratus kepada ekonomi negara dan dijangka meningkat kepada 41 peratus menjelang 2020.

Sementara itu, Hafsah berkata sebanyak 120 belia Sarawak dipilih bagi menyertai Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) yang diperkenal tahun ini.

"Mereka ini yang dipilih daripada 2,670 permohonan akan mengikuti program selama dua bulan di Sibu bermula bulan depan," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 100 peserta akan dipilih untuk menerima geran modal RM15,000 bagi memulakan perniagaan mereka. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X