Khamis, 17 March 2016 | 10:31pm

Giggs optimis United layak ke Liga Juara-Juara

RYAN Giggs. - Sumber dailymail.co.uk
RYAN Giggs. - Sumber dailymail.co.uk

MANCHESTER: Ryan Giggs optimis mengenai peluang Manchester United menewaskan musuh tradisi Manchester City bagi merebut slot terakhir Liga Juara-Juara dengan menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).

United, yang kini menduduki tangga keenam liga, berkunjung ke Stadium Etihad Ahad ini dengan misi untuk merapatkan jurang kepada pasukan jiran itu, yang empat mata di depan dan berada dua tangga di atas mereka.

"Ia bukannya jurang yang besar," kata Giggs kepada The Times. "Terutama apabila anda melihat kepada saingan liga musim ini, setiap pasukan mudah keciciran mata.

"Ia menjadi musim yang pelik. Ia sangat sukar di mana tiada jaminan dan perkara gila sering berlaku. Ramai pemain kami yang kembali pulih daripada kecederaan, jadi jika menang kami akan membina keyakinan dan momentum."

Kedua-dua pasukan Manchester itu jauh ketinggalan kepada peneraju liga Leicester City, yang memiliki kelebihan lima mata berbanding pasukan kedua Tottenham Hotspur.

Bekas pemain sayap dan penolong pengurus kepada Louis van Gaal itu mahu United kembali menempatkan diri dalam kalangan kelab elit Eropah, selepas melihat skuadnya itu ditolak keluar ke Liga Europa berikutan sekadar meraih tempat ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

"Ia sangat sakit apabila kami gagal layak," katanya. "Kami sebelum ini terkeluar daripada Liga Juara-Juara selama semusim dan kami merinduinya. Dan sekarang ini pun kami merinduinya.

"Anda menonton TV dan berharap anda akan terus terbabit dengannya. Ia adalah pertandingan paling elit di Eropah."

United akan menjadi tuan rumah kepada Liverpool pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Europa awal pagi ini, selepas tewas dalam aksi pertama di Anfield 2-0. - Reuters

Berita Harian X