Jumaat, 18 March 2016 | 12:11am
HAKIM menunjukkan antara koleksi syiling lama. - Foto Abu Bakar Al Sidek
KAIN samarinda dari Banjarmasin berusia 200 tahun ada dalam simpanannya. - Foto Abu Bakar Al Sidek

Pedang Kemudi Singkir banyak 'jasa'

TELUK INTAN: Pedang Kemudi Singkir yang didakwa berusia hampir 200 tahun yang ada dalam simpanan pengumpul barang antik, [email protected] Muhammad, 68, bukan sebarang senjata.

Hakim berkata senjata itu adalah pusaka nenek moyangnya yang mempunyai "jasa" tertentu.

"Pedang Kemudi Singkir atau dalam bahasa Banjar bermaksud 'boleh mengelak daripada bahaya', pedang pusaka sepanjang 65 sentimeter peninggalan moyang saya amat istimewa.

"Ini kerana ada kesan cap jari lanun pada pangkal pedang itu yang dikatakan telah banyak membunuh musuh dalam peperangan di Banjarmasin ratusan tahun lalu.

"Saya menerima hadiah pedang itu daripada keluarga saya di sana selepas mereka tahu saya mempunyai mini muzium di rumah," katanya kepada BH.

Pedang itu serta pelbagai barangan antik yang dikumpulnya, katanya, akan tetap disimpan dan tidak akan dijual walau berapa nilai yang ditawarkan.


HAKIM menunjukkan parang "Kemudi singkir" dari Banjarmasin yang ada dalam simpanannya. - Foto Abu Bakar Al Sidek

HAKIM menunjukkan parang antik yang dipamerkan di Muzium Mini miliknya. - Foto Abu Bakar Al Sidek

Senjata pusaka berkenaan adalah antara lebih 300 jenis barang antik yang didakwa berusia antara 50 hingga 200 tahun disimpan oleh Hakim yang dikumpulkan sejak beliau berusia 13 tahun.

Kini, rumahnya di Kampung Kuala Sungai Manik Kiri umpana muzium mini yang turut menarik minat pelbagai pihak termasuk penuntut pusat pengajian tinggi untuk datang membuat kajian.

Walaupun pernah disindir rakan dan penduduk sebagai orang kurang siuman kerana minatnya itu, tetapi tegar mengumpul koleksi barangan lama dan mempunyai nilai sejarah.

Selain Pedang Kemudi Singkir, antara barangan lama dikumpulnya termasuk wang kertas dan syiling dalam dan luar negara; senjata tradisional seperti keris, lembing, pedang, parang panjang dan tombak; pinggan mangkuk, botol, kain sarung serta gambar sejarah tempatan.

Beliau juga memiliki senaskhah al-Quran kecil berukuran 2.5 sentimeter.

"Satu ketika dulu ramai yang beranggapan saya buat kerja sia-sia kerana mereka mendakwa barangan lama tiada nilai komersial.


HAKIM menunjukkan al-Quran kecil didakwa berusia 100 tahun dalam simpanannya. - Foto Abu Bakar Al Sidek

HAKIM memiliki koleksi lembing yang didakwa pernah digunakan dalam perang Sungai Manik menentang Bintang Tiga (komunis). - Foto Abu Bakar Al Sidek

"Saya beritahu kepada mereka barangan berkenaan mahal bagi orang yang tahu menilainya," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menceritakan pengalamannya mengumpul barang lama, Hakim yang pernah menjadi Ketua Kampung Kuala Sungai Manik Kiri selama 20 tahun berkata, berkata kebanyakan barangan lama diperolehi daripada rumah usang yang telah roboh di kawasan sawah Sungai Manik, kawasan pembuangan sampah malah yang ditemui tertanam di kawasan sawah padi.

Bapa kepada tujuh anak dan memiliki 18 cucu itu berkata, kawasan Sungai Manik terkenal dengan lagenda sejarah Bintang Tiga dan Perang Sungai Manik sekitar tahun 1945 dan 1946, menjadikan banyak bahan antik seperti senjata lama disimpan di rumah penduduk kawasan berkenaan seperti Kampung Permatang Parit 7B, Kuala Sungai Manik, Sungai Tungku, Sungai Kerawai, Parit 2B Sungai Manik dan Labu Kubong.

"Ada juga barangan dihadiahkan atau saya beli daripada pihak tertentu termasuk ketika menziarahi keluarga di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia.

Hakim mengakui ada pihak tertentu pernah menawarkan harga yang tinggi bagi membeli sesetengah barangan antiknya, namun ditolak kerana beliau terlalu sayang dengan koleksinya itu.


Suasana di dalam rumah Hakim umpama Muzium Mini. - Foto Abu Bakar Al Sidek

SONGKOK lama jenama Sasirangan yang disimpan oleh Hakim. - Foto Abu Bakar Al Sidek

Menceritakan lanjut, beliau berkata ada pelajar sekolah dan universiti berkunjung ke rumahnya termasuk untuk membuat kajian dan tesis pengajian dan mereka menyatakan rasa kagum apabila melihat mini muziumnya yang menyimpan pelbagai barangan antik.

Katanya, beliau mahu muzium mini itu menjadi harta pusaka peninggalan untuk dimanfaatkan oleh anak cucunya serta generasi akan datang.

Beliau mempelawa pihak Jabatan Muzium, pengkaji sejarah dan pelajar berkunjung ke rumahnya untuk melihat barangan berkenaan.

 

Berita Harian X