Jumaat, 18 March 2016 | 3:46pm

Penerbangan terus Taipei-KK dengan Tigerair Taiwan

KETUA Pegawai Eksekutif Tigerair Taiwan, Kwan Yue (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming (kanan) pada majlis penerbangan sulung Tigerair Taiwan dari Taipei ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan Tigerair Taiwan mengadakan penerbangan terus dari Taipei ke Kota Kinabalu, bermula hari ini.

Tigerair Taiwan, syarikat penerbangan tambang murah pertama di negara itu, memilih Malaysia dengan Kota Kinabalu sebagai destinasi sulung syarikat berkenaan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Pang Yuk Ming, menyambut ketibaan 172 penumpang dari negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tigerair Taiwan, Kwan Yue dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Dalam sidang medianya, Yuk Ming berkata, Sabah menjangkakan peningkatan 50 peratus kehadiran pelancong dari Taiwan tahun ini.

"Tahun lalu, seramai 41,000 pelancong Taiwan ke negeri ini dan ia pernah mencecah 60,000 orang.

"Kehadiran pelancong dari Taiwan sentiasa meningkat walaupun tanpa penerbangan terus dari negara itu.

"Dengan penerbangan baharu ini, sasaran 50 peratus peningkatan pelancong Taiwan boleh dicapai," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Kwan berkata, penerbangan Tigerair Taiwan ke Kota Kinabalu mendapat sambutan menggalakkan penduduk negara itu.

"Dengan sektor baharu ini, lebih banyak pilihan terbuka bagi mereka yang ingin melancong, sama ada dari Taiwan atau Kota Kinabalu," katanya.

Tigerair Taiwan yang beroperasi sejak September 2014, menawarkan empat penerbangan seminggu bagi sektor Taipei-Kota Kinabalu dengan menggunakan pesawat Airbus A320 bagi perjalanan selama tiga jam setengah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Penerbangan dari Taipei ke Kota Kinabalu adalah setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad pada jam 6.45 pagi manakala dari Kota Kinabalu ke Taipei pada jam 10.45 pagi.

Bagaimanapun, bermula 27 Mac ini, masa penerbangan dari Taipei ke Kota Kinabalu ialah jam 1.55 tengah hari manakala Kota Kinabalu-Taipei berlepas pada jam 7.10 malam.

Berita Harian X