Sabtu, 19 March 2016 | 12:22am
CINCIN berlian milik bintang cilik yang kemudian menjadi diplomat Amerika Syarikat (AS), Shirley Temple Black. - Foto EPA

Cincin berlian Shirley Temple dilelong RM150j


CINCIN berlian biru 9.54 karat yang bakal dilelong berharga antara RM101.25 juta hingga RM141.75 juta. - Foto AP

NEW YORK: Cincin berlian milik bintang cilik yang kemudian menjadi diplomat Amerika Syarikat (AS), Shirley Temple Black dilelong bulan depan dengan harga antara AS$25 juta hingga AS$35 juta (RM101.25 juta hingga RM141.75 juta), kata firma lelongan Sotheby's.

Bapa Shirley membeli cincin itu pada tahun 1940-an ketika Perang Dunia Kedua meletus di Eropah pada harga AS$7,210 (RM29,200) ketika sambutan ulang tahun ke-12 bintang itu.

Sotheby's berkata, cincin berlian biru 9.54 karat itu akan dilelong di bandar raya ini pada 19 April.

Ikon bintang cilik itu memulakan kerjaya lakonan semuda tiga tahun.

Beliau berjaya menarik hati penonton filem sepanjang masa dengan nyanyian, tarian dan wajahnya yang bersahaja ketika zaman rakyat AS berdepan tekanan.

Pada tahun 1935 ketika usianya enam tahun, beliau menjadi individu termuda memenangi Anugerah Oscar dan menjadi bintang dengan lakonan menerusi 40 filem dengan kebanyakannya dilakonkan pada usianya 12 tahun.

Selepas bersara daripada dunia perfileman, beliau dilantik menjadi diplomat dan berkhidmat di bawah empat presiden AS.

Beliau juga dilantik menjadi delegasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Duta ke Ghana dan Czechoslovakia.

Temple juga menjadi ketua protokol AS di Jabatan Negara antara 1976 hingga 1977 ketika era pentadbiran Presiden Gerald Ford.

Beliau meninggal dunia di California pada tahun 2014 ketika usianya 85 tahun. - AFP

24 dibaca
Berita Harian X