Sabtu, 19 March 2016 | 2:16pm
JIHAN Muse dipertemukan dengan lelaki seperti Ungku Hariz.

Jihan, bakal suami sibuk sebelum diijab kabul


JIHAN Muse dan Ungku Hariz Ungku Faizal.

KUALA LUMPUR : Pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga, tahun lalu namun disebabkan komitmen terhadap kerjaya hingga membataskan masa menyebabkan persiapan majlis pernikahan pengacara dan artis komedi popular, Jihan Muse, 33, banyak dilakukan pada saat akhir.

Pemilik nama Nur Jihan Muse itu mengakui, debaran menantikan hari bahagianya yang akan berlangsung esok di Shah Alam, Selangor tidak begitu dirasai kerana dirinya sibuk dengan pelbagai urusan.

Bakal disatukan dengan jejaka yang dikenalinya sejak sembilan tahun lalu, Ungku Hariz Ungku Faizal, 31, Jihan hanya berdoa perjalanannya ke alam rumah tangga lancar dan sempurna.

"Mungkin kerana terlalu sibuk menguruskan majlis pernikahan dan resepsi, debaran menanti hari bahagia itu belum begitu dirasai. Bayangkan, bakal suami saya juga masih sibuk dengan kerja hingga saat akhir kami bakal disatukan.

"Alhamdulillah, dalam kesibukan itu, kami masih sempat mencuri masa bersama untuk melakukan persiapan. Semuanya sudah hampir sempurna dan saya hanya berharap, perjalanan kami dipermudahkan kerana sudah lama kami menanti detik ini," katanya.

Jihan mengakui, percintaan yang dilalui selama sembilan tahun banyak menguji kesetiaan mereka namun dirinya bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang teguh menemaninya ketika susah dan senang.

Dirinya juga bersyukur kerana Ungku Hariz begitu memahami, malah tidak pernah mendesaknya untuk segera membina rumah tangga ketika kerjaya seninya sedang memuncak.

"Kami pernah merancang untuk berkahwin pada tahun lalu. Namun, disebabkan kekangan masa dan jadual kerjaya yang padat, kami menangguhkannya hingga akhirnya menemui tarikh yang sesuai iaitu 20 Mac. Urusan yang baik seperti ini tidak manis jika ditangguhkan lagi.

"Alhamdulillah kerana selepas sembilan tahun, impian kami untuk ke jenjang pelamin menjadi kenyataan. Saya juga berharap semua pihak mendoakan kebahagiaan saya dan bakal suami," katanya.

Berita Harian X