Sabtu, 19 March 2016 | 4:02pm

Lelaki meninggal dunia ketika daki gunung

MANGSA, Chung Kwok Kwong.
MANGSA, Chung Kwok Kwong.

REMBAU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai akibat serangan sakit jantung ketika mendaki Gunung Datuk di sini, pagi tadi.

Chung Kwok Kwong, 54, dari Petaling Jaya, Selangor mula mendaki gunung itu kira-kira jam 9 pagi bersama beberapa rakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid, berkata ketika sampai pada ketinggian 800 meter, mangsa dikatakan sesak nafas dan pengsan sebelum rakannya menghubungi talian kecemasan.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.12 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama sepasukan anggota, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan kakitangan Hospital Tampin.

"Kita menemui mangsa di lokasi dan keadaannya terlalu lemah.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa turun pada jarak 200 meter dari kaki gunung," katanya di sini, hari ini.

Mohd Fuad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan selanjutnya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X