Sabtu, 25 Oktober 2014 | 5:11pm

Marquez cipta rekod, rangkul petak pertama ke-13 semusim MotoGP di Sepang 

PENUNGGANG Repsol Honda Team, Marc Marquez. - Foto Reuters

SEPANG: Marc Marquez terus membuktikan kejaguhannya apabila muncul pelumba jentera dua roda pertama membuat catatan bawah dua minit sepusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ketika meraih petak pertama ke-13 semusim di MotoGP, hari ini.

Juara dunia yang baru dinobat itu mencatat masa 1 minit 59.791 saat untuk mengatasi rakan sepasukannya dari Repsol Honda, Dani Pedrosa di petak kedua yang turut memecah tembok dua saat, 1'59.973s.

Selain memecah rekod terpantas sepusingan, Marquez turut memecah rekod petak pertama terbanyak semusim dipegang dua legenda Australia, Mick Doohan dan Casey Stoner yang memiliki 12 petak pertama semusim.

Rekod tidak rasmi di SIC sebelum ini turut dipegang Marquez yang melakukan catatan bawah dua saat pada sesi ujian, Februari lalu yang dibuat dalam keadaan litar kering.

Juara dunia dua kali dari Yamaha, Jorge Lorenzo melengkapkan barisan depan, esok selepas ketinggalan 0.412s.

AKSI Marc Marquez pada pusingan terakhir dalam ujian kelayakan MotoGP bagi Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Sepang di sini hari ini. - Foto EPA

Berbeza dengan keadaan hujan, semalam, sesi kelayakan hari ini berlangsung dalam keadaan panas terik menyaksikan kesemua pelumba cuba untuk menggunakan segala peluang menguji jentera masing-masing.

Barisan kedua pula diisi penunggang LCR Honda, Stefan Bradl diikuti pelumba Ducati, Andrea Dovizioso dan juara di GP Australia, minggu lalu, Valentino Rossi.

Lebih mengecewakan buat juara dunia sembilan kali, Rossi ketika sesi kelayakan di depan ribuan penyokong setianya, hari ini ialah dia terjatuh ketika penghujung sesi kelayakan namun tidak berdepan kecederaan.

Marquez sudah memenangi 11 perlumbaan daripada 16 pusingan musim ini namun gagal memenangi sebarang perlumbaan pada empat pusingan lepas.  

Jaguh Sepanyol itu hanya memerlukan satu kemenangan untuk menyamai rekod dipegang Doohan yang memenangi 12 perlumbaan semusim.

Selain itu, sesi ujian bebas ketiga MotoGP hari ini turut dibayangi dengan insiden ngeri yang membabitkan pelumba, Monster Yamaha, Pol Espargaro yang menghalangnya daripada berlumba, esok.

Perlumbaan MotoGP dijadualkan bermula pada 4 petang esok. 

Berita Harian X