Selasa, 22 March 2016 | 12:28pm

Hukuman berat untuk ibu bapa, penjaga cuai, abai anak


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Asyraf Hamzah

BANGI: Rang Undang-Undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 yang menetapkan hukuman lebih berat terhadap ibu bapa yang mengabaikan dan cuai dalam penjagaan anak, akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Ia bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2011.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata hukuman lebih berat itu perlu bagi meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga supaya tidak cuai dan mengabaikan kebajikan anak masing-masing.

"Saya berasa sedih kerana kes ibu bapa atau penjaga cuai dan pengabaian kanak-kanak terus berlaku walaupun sudah banyak kali peringatan diberikan.

"Saya berharap kerajaan tidak dipersalahkan dan dituduh berlaku kejam apabila kita menguatkuasakan Akta Kanak-kanak 2015 yang memperuntukkan hukuman lebih berat dan denda lebih tinggi kepada ibu bapa atau penjaga yang cuai dan mengabaikan keselamatan anak masing-masing," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan seminar di sini sebentar tadi.

Rohani turut sedih dan terkilan dengan nasib menimpa seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 14 kuarters kerajaan Putrajaya, semalam.

Budak itu yang sedar tidur, dipercayai ditinggalkan seorang diri di rumah oleh bapanya yang pergi menghantar ibu mangsa ke pejabat di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Berita Harian X