Selasa, 22 March 2016 | 2:10pm

3 subjek UA tersenarai 50 terbaik dunia


MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Che Rani Che Din

PUTRAJAYA: Penarafan Universiti Dunia (Worlds University Ranking) QS bagi kategori 'mengikut Subjek' menyaksikan tiga mata pelajaran universiti tempatan tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia.

Tiga mata pelajaran dalam 50 kelompok terbaik dunia itu ialah Pengajian Pembangunan di tangga ke-32 dan Kejuruteraan-Elektrikal & Elektronik (37) di Universiti Malaya (UM) serta Kejuruteraan-Kimia (40) di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata beliau bangga dengan kedudukan kukuh universiti tempatan terutama dalam bidang kejuruteraan.

"Prestasi universiti awam (UA) dan swasta dalam kelompok 100 dan 200 terbaik dunia juga memberangsangkan.

"Pencapaian ini adalah bukti usaha gigih, komitmen dan dedikasi pensyarah serta penyelidik kami, selain komuniti pendidikan tinggi keseluruhannya.

"Universiti kita sekali lagi membuktikan mereka sememangnya sedang meningkat secara berterusan ataupun 'Soaring Upwards', yang menjadi slogan kementerian," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Idris turut mengingatkan bahawa usaha tidak harus berakhir setakat itu sahaja dan menggesa semua universiti untuk terus meningkatkan hasil penyelidikan dan pengajaran masing-masing.

"Saya sentiasa menyatakan bahawa ranking dunia penting sebagai penanda aras kedudukan sistem pendidikan tinggi negara pada peringkat global, tetapi ia bukanlah segala-galanya.

"Dalam hal ini, saya berharap hasil daripada universiti akan dapat membawa kesan positif yang bermakna, mapan dan berkekalan kepada masyarakat setempat serta antarabangsa," katanya.

Berita Harian X