Selasa, 22 March 2016 | 6:03pm

Nasib Mullvey bersama Penyu diketahui selepas 4 April


Mike Mullvey

KUALA TERENGGANU: Pemangku Ketua Jurulatih Terengganu, Mike Mullvey antara calon bakal menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan berkenaan bagi menggantikan Ahmad Yusof.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid, bagaimanapun berkata kedudukan pengendali kelahiran Manchester, England itu hanya akan diputuskan selepas perlawanan menentang FELDA United di laman sendiri, 4 April ini.

Katanya, sepanjang memangku tugas selaku ketua jurulatih, Mullvey berjaya mengendalikan pasukan dengan baik dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

"Kita memberi peluang kepada beliau mengendalikan empat perlawanan, dan tiga perlawanan sebelum ini, dia berjaya membuktikan keupayaannya membimbing pasukan Terengganu.

"Setakat ini, pihak pengurusan berpuas hati dengan persembahan dan mutu pasukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Ahmad Nizam berkata perbincangan awal telah diadakan dan jurulatih berkenaan memohon kenaikan gaji bagi mengisi jawatan itu.

"Perlawanan keempat itu bakal menentukan nasib Mike Mullvey...kita tunggu keputusan selepas ini," katanya.

PBSNT sebelum ini mengambil tindakan merehatkan Ahmad ekoran prestasi buruk hingga menyebabkan pasukan Terengganu tersingkir awal dalam saingan Piala FA musim ini.

Ahmad, 56, ditugaskan untuk memangku jawatan ketua jurulatih selepas Abdul Rahman Ibrahim membuat keputusan untuk berehat pada Jun tahun lalu.

Wan Ahmad Nizam berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menggugurkan jurulatih berasal dari Pulau Pinang itu daripada membimbing skuad Terengganu.

"Pihak pengurusan telah melakukan rundingan bersama Ahmad dan kita tunggu keputusan selepas ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X