Khamis, 24 March 2016 | 3:06pm
JOE Flizzow (kanan) dan Sonaone. - Foto Ghazali Kori
DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Saadiah Sulaiman

Joe Flizzow, SonaOne sertai konsert Siti Nurhaliza 2 April

KUALA LUMPUR: Kurang seminggu menjelang persembahan, penganjur memaklumkan dua lagi artis terkenal tanah air, Joe Flizzow dan SonaOne akan turut memeriahkan Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends.

Sebelum ini, penganjur mengesahkan konsert yang akan berlangsung pada 2 April depan di Stadium Negara, di sini, menampilkan beberapa penyanyi terkemuka serantau seperti Anggun Cipta Sasmi, Afgan, Cakra Khan, Hafiz Suip dan Faizal Tahir.

Pada sidang media diadakan semalam, Yonder Music menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Kidron turut memaklumkan, berdasarkan sambutan hebat khalayak, reka bentuk ruang menonton konsert juga sudah diubah suai bagi membolehkan 1,000 lagi peminat dapat sama-sama menghangatkan acara. Pengubahsuaian itu menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti penonton kira-kira 7,000 tempat duduk.

Siti yang ditemui pada sidang media diadakan di RedBox, The Gardens ternyata begitu teruja dan pada masa sama berdebar menunggu ketibaan hari persembahan. Penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu juga sangat berbesar hati apabila dua artis hip hop Malaysia berkenaan sudi memeriahkan lagi konsert terbabit.

"Dua puluh tahun bersempena pembabitan dalam seni, konsert ini hadiah paling istimewa buat diri ini. Siti rasa amat dihargai dengan kehadiran artis terbaik dari Malaysia dan Indonesia pada konsert ini," katanya.

Menurut Siti juga, cadangan mengadakan konsert terbabit datang kepada pihaknya di luar jangkaan kerana umum tahu mengenai hasrat dirinya memperlahankan rentak seni buat seketika. Beliau merancang untuk berehat seketika daripada aktiviti seni antara lain sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat.

Pada penghujung tahun lalu, Siti memaklumkan dirinya mengalami keguguran selepas beberapa minggu disahkan hamil. Penyanyi ini berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada Ogos 2006.

"Namun, peluang yang diberikan umpama rezeki dan ia juga satu cadangan yang baik yang tidak patut Siti lepaskan. Lagipun, sudah lama Siti tidak membuat persembahan berskala stadium.

"Mengenai penyertaan Joe dan SonaOne, Siti dimaklumkan oleh penganjur mengenai perkara itu sekitar dua minggu lalu. Ia berita baik untuk Siti," kata beliau yang buat julung kali akan menjayakan konsert di lokasi terbabit.

Selain itu, Siti turut dimaklumkan 250 pengguna aplikasi Yonders Music bertuah yang mencipta sendiri senarai lagu dendangannya akan menerima pas menonton konsert berkenaan bersama pasangan masing-masing. Daripada jumlah itu, Siti juga akan memilih hanya 20 orang untuk makan malam bersamanya, sehari selepas konsert berlangsung.

"Mereka boleh memuatkan seberapa banyak lagu dendangan Siti untuk bersaing bagi merebut peluang makan malam ini. Bagaimanapun, hanya 20 peminat yang bakal Siti pilih untuk memenangi pas 'Diamond' menonton konsert dan makan malam, bersama pasangan masing-masing.

"Memang tiada tiket dijual untuk konsert ini, sebaliknya mereka yang ingin menontonnya perlu mengaktifkan aplikasi muzik Yonders. Ikutkan, memang ramai kenalan dan teman rapat bertanya pada Siti, macam mana nak beli tiket konsert," katanya.

Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends di Stadium Negara pada 2 April ini dikhususkan kepada pengguna Celcom Xpax yang melanggan Yonder Music. Dengan nilai serendah RM30, pelanggan perkhidmatan itu akan menerima dua tiket ke konsert terbabit.

Berita Harian X