Jumaat, 25 March 2016 | 7:10am

'Terlajak Laris' tunggu persetujuan KFA

KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengesahkan hanya menunggu jawapan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk memuktamadkan tajaannya bersama pasukan itu.

Usahawan kosmetik dan produk kesihatan yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu menjelaskan beliau juga menunggu jawapan dari KFA berkenaan apa pulangan akan diperoleh dengan tajaan puluhan juta ringgit yang diminta persatuan terbabit.

Malah, Aliff turut mengakui betapa beliau tidak menetapkan syarat terhadap KFA untuk menaja pasukan itu.


PEMILIK syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman. - Foto Mahzir Mat Isa

"Sekarang ini saya bersedia bila-bila masa saja untuk tandatangan (perjanjian). Jawapan kini hanya terletak di tangan Kedah.

"Saya tidak meletakkan sebarang syarat, cuma saya memaklumkan kepada KFA supaya menilai balik jumlah puluhan juta yang mereka minta sama ada berbaloi ke tak dengan apa yang saya bagi (taja).

"Saya juga nak lihat sendiri apa keuntungan kedua-dua belah pihak, itu saja. Sebab itu saya cakap, jawapan kini terletak di tangan Kedah dan bagi pihak saya ia sudah selesai," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Sejak dari awal musim Liga Malaysia (Liga M) lagi Aliff Syukri giat mencari pasukan yang bakal ditajanya, namun gagal mendapat persetujuan termasuk dengan Selangor dan Pahang.

Malah, berkenaan tajaan dengan Kedah juga, Aliff Syukri sudah memberi amaran betapa beliau mungkin terpaksa beralih ke pasukan lain sekiranya KFA gagal memberi jawapan dalam tempoh dua minggu.

"Saya sekarang ini cuma nak tahu apa hantarannya (pulangan) jika mas kahwin (tajaan) diberikan. Malah sudah terlalu lama sangat masa saya tunggu (perbincangan dengan Kedah).

"Tapi jika Kedah tidak boleh buat keputusan dalam tempoh dua minggu lagi, saya mungkin akan cari pasukan lain," katanya.

Berita Harian X