Sabtu, 26 March 2016 | 12:49am

27 atlet Russia positif meldonium


MENTERI Sukan Russia, Vitaly Mutko. - Foto Reuters

MOSCOW: Menteri Sukan Russia, Vitaly Mutko berkata hari ini seramai 27 atlet negara itu didapati positif meldonium sejak bahan perangsang itu disenarai hitam pada 1 Januari lalu.

"27 didapati positif menggunakan meldonium dan ada 127 kes lagi di dunia," kata Mutko kepada agensi berita R-Sport. "Tetapi angka itu boleh berubah."

Meldonium menjadi tajuk utama pada awal bulan ini selepas bintang tenis Russia, Maria Sharapova mengumumkan dia didapati positif menggunakan bahan itu ketika Terbuka Australia, Januari lalu.

Sejak itu, beberapa atlet berprofil tinggi Russia, termasuklah perenang Olimpik Yulia Efimova mengakui mereka juga didapati menggunakan bahan terlarang itu.

Agensi Anti-Doping Dunia berkata mereka merekodkan 123 kes meldonium sejak menguatkuasakan larangan penggunaan bahan itu.

Identiti atlet yang didapati positif itu bagaimanapun tidak diumumkan.

Persekutuan Olahraga Russia - yang digantung pada November selepas suruhanjaya bebas WADA menemui bukti kerajaan melindungi kes doping atlet olahraga Russia - mengumumkan empat kes meldonium berlaku terhadap atlet mereka pada awal minggu ini.

Moscow berikrar untuk memperbaiki program anti-doping bagi membolehkan atlet olahraga mereka bertanding di Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada Ogos depan. - AFP

Berita Harian X