Sabtu, 26 March 2016 | 8:55am

25 pegawai kanan PDRM tukar jawatan, naik pangkat

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat 25 pegawai kanannya, berkuat kuasa 25 April ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, menerusi kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, malam tadi.

Mendahului senarai pertukaran adalah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Pengurusan Aduan) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Fatimah Abd Hamid.

Beliau ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

Ini diikuti Ketua Penolong Pengarah JIPS (Siasatan/Perundangan/Kajian Kes) Bukit Aman, SAC Datuk Azhar Hamzah yang bertukar ke Ketua Penolong Pengarah JIPS (Risikan/Operasi) Bukit Aman.

Turut ditukar, Penolong Pengarah Narkotik (Perundangan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP) S Sasikala Devi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Timbalan Ketua Cawangan Khas II, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, ACP Rohaimi Md Isa turut dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik/Inspektorat) JSJK Bukit Aman. Beliau memangku pangkat SAC.

Ini disusuli dengan Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) IPK Sarawak, ACP Sukardi Tulos yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah JIPS (Pengurusan Aduan) Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Ketua Polis Daerah Kota Star, ACP Adzaman Mohd Jan, dilantik sebagai SAC Kepolisan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC dan tempatnya diambil alih Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin yang memangku pangkat ACP.

Kenaikan pangkat turut membabitkan Ketua JSJN IPK Kuala Lumpur, ACP Wan Abdullah Ishak yang dilantik sebagai Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Jabatan KDNKA Bukit Aman, dengan memangku pangkat SAC.

Berita Harian X