Sabtu, 26 March 2016 | 11:43pm

Lelaki meninggal selepas ujian lesen motosikal

TAIPING: Seorang lelaki meninggal dunia selepas menduduki ujian bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Batu Kurau dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah, berkata mangsa, Zulkiply Saidin, 52, dari Kampung Pulau Damar, Sungai Ara, Batu Kurau menjalani ujian itu pada pukul 8 pagi.

"Setelah selesai keseluruhan ujian mangsa pergi ke kantin sekolah kira-kira jam 12.45 tengah hari dan memberitahu rakannya beliau pening.

"Beberapa minit selepas itu mangsa rebah dan terbaring di atas bangku kantin sekolah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Harrith Kam berkata, bedah siasat di Hospital Taiping, mengesahkan Zulkiply yang masih bujang meninggal akibat masalah jantung. - BERNAMA

Berita Harian X