Ahad, 27 March 2016 | 5:26pm

Tindakan Ku Li sokong Najib dipuji

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. - Foto Sairien Nafis

KUANTAN: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memuji tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani 'Deklarasi Kelantan' yang menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, langkah diambil Tengku Razaleigh itu memberikan impak besar kepada UMNO kerana beliau adalah antara tokoh hebat dalam arena politik tanah air.

"Sokongan Tengku Razaleigh ini bukan sembarangan sokongan. Beliau tokoh veteran UMNO yang sudah lama dalam politik.

"Rekod Tengku Razaleigh juga sangat baik dan kalau kita masih ingat Tengku Razaleigh juga pernah bertanding menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO melawan (Tun) Dr Mahathir Mohamad dulu.

"Saya percaya, ia adalah satu perkembangan menarik kerana selama ini ramai yang cakap Tengku Razaleigh lebih cenderung memihak kepada Dr Mahathir," katanya pada media selepas melawat gerai pameran sempena Karnival Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Wilayah Timur 2016 di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh menandatangani deklarasi itu di hadapan Najib pada pertemuan antara pemimpin UMNO Kelantan dan Perdana Menteri yang berlangsung di Bangunan Parlimen, Khamis lalu.

Deklarasi itu kemudian diserahkan kepada Najib yang juga Presiden UMNO oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Berita Harian X