Isnin, 28 March 2016 | 1:09pm

Sultan Selangor mahu kerajaan negeri pinda Enakmen Lambang & Nama

SULTAN Sharafuddin Idris Shah memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang ke 13, 2016 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin Idris Shah memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang ke 13, 2016 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar kerajaan negeri membuat pindaan sewajarnya kepada Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani perbuatan dan pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan baginda.

Baginda bertitah baginda telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri bahawa pindaan yang dicadangkan itu meliputi pindaan berkaitan pencegahan penganugerahan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf di samping penetapan kadar hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan di bawah enakmen berkenaan.

"Beta berharap dengan pengenalan rang undang-undang ini yang akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor pada sidang kali ini akan dapat membendung kegiatan tidak bermoral dan beretika ini dan sekali gus melindungi kedaulatan beta sebagai Sultan Selangor," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor yang Ke-13 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Baginda bertitah seperti yang termaktub dalam Perkara 38 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, hanya baginda sahaja sebagai Sultan Selangor yang berhak menganugerah dan mewujudkan darjah kebesaran, bintang dan pingat dalam negeri itu.

Namun titah baginda, sejak kebelakangan ini baginda mendapati kegiatan memberi, menjual dan memakai darjah kebesaran oleh individu yang tidak diiktiraf, baik daripada istana atau kerajaan negeri telah berleluasa.

"Perbuatan memberi, menjual dan menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf adalah satu penipuan yang salah dari segi undang-undang," titah Sultan Sharafuddin.

Sementara itu baginda turut menitahkan supaya kerajaan negeri mengambil langkah proaktif supaya bencana seperti cuaca panas yang ekstrim dan kering, banjir kilat serta penyakit berjangkit dapat diurus dan ditangani supaya tidak memberi kesan kepada rakyat serta ekonomi negeri.

Sehubungan itu baginda menitahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) supaya mengurus sumber air negeri secara holistik dengan memastikan sumber air mentah mencukupi di semua empangan supaya bekalan air bersih untuk kegunaan rumah dan industri tidak tergendala.

"Beta juga mahu sumber air, sungai, perairan pantai dan alam persekitarannya berada dalam keadaan yang terpelihara dan mampan bagi menyokong pembangunan sosio ekonomi negeri yang sentiasa berdaya maju," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menasihati umat Islam di Selangor supaya berpegang kepada ajaran dan amalan Ahlus Sunnah Wal Jamaah bagi menghadapi pelbagai cabaran seperti fahaman radikal dan gerakan militan serta ajaran sesat akibat daripada salah faham terhadap ajaran suci Islam.

-- BERNAMA

Berita Harian X