Isnin, 28 March 2016 | 10:29pm

HM lancar buku 'Fenomena' rai ulang tahun 25 tahun


PENGARAH Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri Amrin Awaluddin (dua kiri); Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan (tiga kanan); Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (kiri); Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kanan) dan Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar melihat buku bertajuk Fenomena pada majlis makan malam yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di Shah alam, malam ini. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Ulang tahun ke-25 akhbar nombor satu negara Harian Metro (HM) disambut meriah pada majlis makan malam yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, malam ini.

Kira-kira 300 tetamu hadir pada majlis makan malam itu termasuk bekas pengurusan kanan dan kakitangan serta warga kerja akhbar terbabit.

Antara tetamu kehormat yang turut menghadiri malam gilang gemilang itu adalah bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Nazri Abdullah; bekas Pengarah Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Khalid Ahmad; bekas Pengarang Kumpulan HM, Ahmad Puad Onah dan Pengarang Eksekutif HM, Mohamad Zian Johari.

Majlis makan malam itu dimulakan dengan ucapan oleh Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar yang kemudian mengiringi Pengerusi NSTP Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan melancarkan buku bertajuk Fenomena sempena 25 Tahun HM bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Majlis berkenaan kemudian diikuti dengan acara memotong kek ulang tahun Harian Metro ke-25 sebelum jamuan makan.

Mustapa berkata, dari saat beliau mula memimpin HM sejak 11 tahun lalu, kerjasama daripada warga kerja akhbar ini memainkan peranan yang amat penting sehingga berjaya menukarkan imej akhbar itu daripada akhbar picisan kepada akhbar nombor satu negara.

"Pertama kali saya mendapat berita penugasan saya di HM, saya akui perasaan kurang gembira ada, namun pada hari pertama menjejakkan kaki ke pejabat, semangat saya jadi membuak-buak selepas melihat ketekunan warga kerja HM pada ketika itu.

"Saya yakin, dengan semangat yang warga HM ada sehingga kini, kita mampu bertahan 15 tahun lagi," katanya.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis jemputan iaitu Datuk Nash Lefhanded, Aishah Aziz dan Farawahida yang diselangselikan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan HM, tayangan video khas dan juga penyampaian cenderahati kepada bekas pengurusan kanan HM.

Malam gilang gemilang itu turut dihadiri wakil penaja dari Bank Rakyat, Courts Mammoth, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan SACC.

Berita Harian X