Selasa, 29 March 2016 | 4:17pm

LHDN lanjut tempoh e-Filing majikan hingga 30 April


LAMAN sesawang e-Filing di https://ez.hasil.gov.my/CI/

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi tambahan masa 30 hari untuk majikan mengemukakan Borang E, sebagai langkah menggalakkan majikan menggunakan kemudahan e-Filing.

Bagaimanapun, lanjutan sehingga 30 April itu tidak terpakai kepada kaedah penghantaran Borang E secara borang kertas atau manual dan tarikh akhir mengemukakan Borang E bagi kaedah itu kekal pada 31 Mac ini.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, tarikh akhir untuk mengemukakan Borang Penyata Saraan oleh majikan iaitu Borang E Tahun Taksiran 2015 kepada LHDN ialah pada 31 Mac ini.

"Tambahan masa ini bermakna tarikh akhir mengemukakan Borang E Tahun Taksiran 2015 melalui e-Filing ialah pada 30 April 2016.

"Jika majikan mengemukakan Borang E Tahun Taksiran 2015 secara e-Filing pada 1 Mei 2016, Borang E berkenaan akan dianggap lewat diterima mulai 1 April 2016 dan boleh dikenakan kompaun lewat.

"Mengikut perenggan 120(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967, kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 103,133 Borang E Tahun Taksiran 2015 sudah diterima oleh LHDNM melalui kaedah e-Filing.

Angka itu menunjukkan peningkatan 90.19 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 54,226 borang.

Berita Harian X