Khamis, 31 March 2016 | 3:11pm

Maxis kembang rangkaian 4G di luar bandar Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Maxis Berhad (Maxis) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengembangkan rangkaian perkhidmatan 4G di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Teknologi Maxis, Morten Bangsgaard, berkata ketika ini perkhidmatan 4G disediakan di 36 pekan dan bandar kedua-dua negeri dengan liputan melebihi 90 peratus di Kota Kinabalu dan Kuching, manakala 80 peratus di lokasi lain.

Katanya, masih banyak kawasan luar bandar belum mendapat liputan 4G disediakan syarikat itu berikutan ketiadaan infrastruktur lengkap termasuk menara pemancar, selain belum dipasang prasarana diperlukan.

"Kita akan bekerjasama dengan SKMM bagi menentukan kaedah terbaik menyediakan perkhidmatan 4G di luar bandar agar pelanggan Maxis menikmati liputan 4G terbaik.

"Setakat ini kita banyak melabur dalam penyediaan 4G di Sabah serta Sarawak dan Maxis adalah syarikat paling tinggi pelaburan berbanding syarikat telekomunikasi lain," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Maxis 4G di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah Ketua Perniagaan Pengguna Maxis, Dushyan Vaithiyanathan dan Ketua Maxis Wilayah Sabah, Ng Chak Khin.

Bagi perkhidmatan 4G di Sabah, Bangsgaard berkata, selain pelanggan Maxis di Kota Kinabalu, tiga bandar utama lain iaitu Lahad Datu, Sandakan dan Tawau turut menikmati liputan 4G terbaik daripada syarikat itu.

Lokasi lain ditembusi perkhidmatan 4G Maxis ialah Penampang, Tuaran, Papar, Ranau, Keningau, Semporna, Kudat, Putatan, Sipitang, Beaufort dan Kota Belud, manakala penembusan di pekan seperti Kota Marudu dan Bongawan disasar mulai suku kedua tahun ini.

"Perkhidmatan 4G membolehkan pelanggan Maxis memuat turun video tanpa gangguan dan pantas sepanjang masa. Ketika ini penggunaan data pengguna di Sabah dan Sarawak melebihi 3GB sebulan," katanya.

Berita Harian X