Khamis, 31 March 2016 | 6:00pm

MPB lancar CJ WOW Shop


TIMBALAN Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Badaruddin Sadali bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif CJ WOW Shop, Kim Yang Hyun melancarkan program demonstrasi beli-belah di rumah, CJ WOW Shop di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (MPB) melancarkan program demonstrasi beli-belah di rumah, CJ WOW Shop, yang akan mula disiarkan esok.

Siaran demonstrasi komprehensif itu akan disiarkan menerusi saluran rangkaian utama iaitu TV3, ntv7, 8TV, TV9 dan Tonton.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Kamal Khalid, berkata program itu terhasil susulan kerjasama MPB dan syarikat terkemuka global, CJ O Shopping Co Ltd.

"Pelanggan boleh membuat pembelian menerusi talian bebas tol atau melayari laman sesawang beli-belah dalam talian.

"Selain itu, pembelian melalui aplikasi mudah alih memudahkan pelanggan membeli di mana saja tanpa mengira masa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program terbabit yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Badaruddin Sadali, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CJ WOW Shop, Kim Yang Hyun.

Seramai 10 selebriti akan mengacarakan program itu antaranya Maria Tunku Sabri, Nadia Annuar dan Karl Shafek.

Berita Harian X