Isnin, 27 Oktober 2014 | 3:55pm

Arah tuju Amirul Hafiq harungi MotoGP masih kabur


AMIRUL Hafiq Azmi dari pasukan SIC-Ajo. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Arah tuju pelumba Moto3 negara Amirul Hafiq Azmi untuk meneruskan saingan dalam perlumbaan motosikal dunia (MotoGP), tahun depan masih samar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata setakat ini pelumba SIC-AJO itu masih belum menerima mana-mana tawaran daripada pasukan lain untuk musim tahun depan.

Baru-baru ini, Razlan mengumumkan pasukan baru, Pasukan Perlumbaan SIC yang menggantikan pasukan SIC-AJO untuk kempen MotoGP, tahun depan.

SIC buat kali pertama akan menampilkan pasukan baharu yang dikendalikan sendiri sepenuhnya sudah menamakan dua pelumba bagi pasukan itu iaitu Zulfahmi Khairuddin dan Jakub Kornfeil dari Republik Czech.

Sekali gus, pengumuman dua pelumba itu mengesahkan Amirul Hafiq tidak lagi bersama SIC pada musim depan.

"Saya harap penaja lain dapat ambil dia...selepas pengumuman Jakub (semalam), beliau (Amirul Hafiq) tidak lagi bersama kami. Kita tidak mahu terlampau sentimental dan beremosi mengenai nasib pelumba Malaysia tetapi ini realiti dalam sukan permotoran," katanya.

Beliau berkata SIC sebenarnya mengharapkan lebih daripada Amirul Hafiq yang banyak mendapat banyak peluang sebelum masuk World Championship (MotoGP) seperti berlumba selama dua tahun dalam perlumbaan Red Bull Rookies dan setahun dalam perlumbaan Motosikal Sepanyol CEV Repsol.

"Kalau kita tengok, pelumba Eropah juga diberhentikan ketika pertengahan musim perlumbaan sebab mereka gagal menunjukkan prestasi.

"Melainkan pelumba itu membawa duit kepada pasukan, namun berbeza dengan SIC, kita melabur untuk meningkatkan pelumba negara dan kita perlu fikir betul-betul untuk sambungkan kontrak dia (Amirul Hafiq)," katanya kepada pemberita.

Selepas 17 perlumbaan MotoGP Amirul Hafiq akhirnya berhasil mengutip tiga mata selepas menduduki kedudukan ke-13 pada GP Malaysia 2014 di Litar Sepang, semalam.

Sementara itu Razlan berkata sebanyak 130,925 tiket terjual bagi tiga hari penganjuran perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang yang berakhir semalam.

Pelumba Pasukan Repsol Honda, Marc Marquez menjadi tumpuan peminat tempatan dan luar negara yang hadir selepas dinobatkan juara pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Sepang semalam.

Marquez juga menyamai rekod Mick Doohan selepas meraih kejuaraan bagi kali ke-12 bagi satu musim dalam Grand Prix Motosikal. - BERNAMA

21 dibaca
Berita Harian X