Jumaat, 1 April 2016 | 2:44pm

Isu teksi, Uber dan GrabCar: JPJ serah kepada kerajaan

Datuk Seri Ismail Ahmad
Datuk Seri Ismail Ahmad

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan bagi merumuskan keputusan yang dapat diterima semua pihak berhubung penyedia perkhidmatan kereta sapu profesional Uber dan GrabCar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata beliau yakin keputusan kerajaan nanti akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pengguna, pengusaha teksi serta penyedia perkhidmatan Uber dan GrabCar di negara ini.

Katanya, buat masa sekarang tiada sebarang dasar ditetapkan bagi membolehkan tindakan dikenakan terhadap pengusaha Uber atau GrabCar.

"Tiada sebarang tindakan boleh dikenakan kepada pengusaha Uber atau GrabCar sekarang tetapi semuanya bergantung kepada keputusan kerajaan berhubung isu ini," katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari JPJ ke 70, di Kementerian Pengangkutan, di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Ismail melancarkan logo Sambutan Hari JPJ ke 70 serta Buku Panduan Pengubahsuaian dan Penjagaan Kenderaan yang akan diedarkan kepada masyarakat tidak lama lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dipetik berkata kerajaan akan menggariskan satu penyelesaian yang adil lagi saksama berhubung isu berkenaan.

Katanya, beliau faham dan prihatin terhadap masalah serta rungutan dalam kalangan pemandu teksi disebabkan oleh pengguna perkhidmatan pengangkutan seperti Uber atau GrabCar di Malaysia, yang dilihat menjejaskan pendapatan mereka.

Namun, tegas Perdana Menteri, sebelum dapat membuat keputusan, kerajaan perlu mempertimbangkan banyak faktor seperti inovasi, persaingan dan sebagainya.

Selasa lalu, sekumpulan pemandu teksi di Bukit Bintang mengadakan mogok bagi membantah perkhidmatan GrabCar dan Uber di negara ini.

Kumpulan terbabit menutup laluan secara sengaja dengan memberhentikan kenderaan mereka merentasi Jalan Bukit Bintang sebagai tanda protes.

Protes itu didakwa dilancarkan ekoran kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar yang menjejaskan pendapatan pemandu teksi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X