Sabtu, 2 April 2016 | 7:03pm

Anggun kagumi Yuna, anggap Siti Nurhaliza hebat


PENYANYI Indonesia yang mencipta nama di Perancis, Anggun C Sasmi atau Anggun. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia yang mencipta nama di Perancis, Anggun C Sasmi atau Anggun berhasrat bekerjasama dengan Yuna.

Mula mengenali Yuna melalui media sosial empat tahun lalu, Anggun berkata, sebagai wanita Asia, beliau kagum dengan karisma dan penampilan penyanyi Terukir di Bintang itu yang disifatkan unik.

"Sebelum ini, kami hanya berbual menerusi media sosial. Baru-baru ini, saya berpeluang bertemu Yuna di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) ketika menghadiri sebuah acara.

"Secara jujur, saya sangat kagum dengan penampilannya yang tetap kelihatan moden walaupun mengenakan hijab. Ini melambangkan keperibadian wanita yang berkuasa dan berpengaruh," kata penyanyi berusia 42 tahun ini kepada BH Online.

Anggun yang terkenal dengan lagu Snow On The Sahara berada di ibu negara bagi menjayakan konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends di Stadium Negara di sini, malam ini.

Mengulas pembabitannya dalam konsert itu, Anggun berkata, beliau menerima tawaran itu kerana Siti.

"Mana mungkin saya menolak tawaran yang datang daripada Siti. Beliau memang penyanyi yang hebat. Saya mendengar nyanyiannya ketika sesi latihan semalam.

"Walaupun sekadar latihan, Siti menyanyi dengan penuh jiwa," katanya.

Selain Anggun, konsert anjuran Yonder Music dan Celcom Xpax ini turut menampilkan Hafiz Suip, Faizal Tahir, Afgan, Cakra Khan, Joe Flizzow dan Sonaone.

29 dibaca
Berita Harian X