Ahad, 3 April 2016 | 12:28am
IBU bapa dan kanak-kanak yang mengikuti kelas memanah tradisional PERTAMA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KANAK-KANAK menjalani aktiviti memanah tradisional di Taman Ekuestrian Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
JURULATIH mengajar peserta melakukan aktiviti memanah tradisional. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SEBAHAGIAN kanak-kanak dan ibu bapa yang menjalani aktiviti memanah tradisional. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PELAJAR, Muhammad Hakim Nor Azhar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Memanah terapi kanak-kanak

PUTRAJAYA: Memanah bukan sekadar riadah tetapi boleh menjadi terapi diri yang melatih emosi dan fizikal seseorang untuk menumpukan perhatian, bertenang dan menstabilkan emosi. 

Setiausaha Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (PERTAMA), Mohd Nasrul Kamarulzaman, berkata suatu ketika dulu sukan itu dianggap eksklusif kerana hanya menjadi hobi golongan elit.

Namun seiring dengan perubahan masa, kini ia semakin popular dan mampu diceburi masyarakat biasa tanpa mengira status atau usia.

Justeru, katanya, tidak hairanlah sejak usia anak seawal empat tahun lagi sudah ada ibu bapa yang mula menghantar anak untuk mengikuti kelas memanah.


SETIAUSAHA Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (PERTAMA), Mohd Nasrul Kamarulzaman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Malah, ada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa menghadapi autisme atau hiperaktif memilih kegiatan  memanah sebagai terapi dan pembelajaran meningkatkan daya tumpuan, menstabilkan emosi, bertenang serta meningkatkan kemahiran komunikasi selain pergaulan kerana golongan itu cenderung dengan sikap suka menyendiri.

"Tidak kurang juga kanak-kanak yang terlalu asyik dengan gajet sehingga mengganggu pergaulan dan kemahiran perhubungan serta sosial  mereka kerana tidak mahu bergaul tetapi berjaya diselesaikan dengan mendedahkan mereka kepada kegiatan memanah.

"Sukan memanah juga adalah antara riadah yang digalakkan Islam, yang mana daripada sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW ada menganjurkan sahabat agar mampu menguasai sukan berkuda, berenang dan memanah," katanya ketika ditemui BH.

Nasrul berkata bagi menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam kegiatan memanah tradisional, PERTAMA menawarkan kelas memanah tradisional untuk disertai kanak-kanak seawal usia enam tahun.

Beliau menyifatkan perbezaan paling ketara antara memanah cara moden dan tradisional adalah dari segi peralatan serta teknik.


AKTIVITI memanah tradisional di Taman Ekuestrian Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Kita boleh ibaratkan, memanah tradisional ini seperti menggunakan senapang patah manakala memanah moden seperti kita menggunakan senapang 'sniper'.

"Memanah tradisional hanya menggunakan busur dan anak panah berbanding dengan memanah moden yang lebih banyak peralatannya termasuk alat bantuan pandangan.

"Selain itu, pemanah lebih banyak menggunakan naluri ketika memanah menggunakan teknik tradisional kerana ia tidak mempunyai kelengkapan bantuan lain," katanya sambil menambah kegiatan itu juga baik untuk meningkatkan daya tahan kardiovaskular seperti kecekapan jantung dan salur darah.

Tambah Nasrul, dari sudut kesihatan pula, memanah mendorong sistem pernafasan membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan kerana kerana semasa menarik anak panah, akan berlaku pergerakan pada otot kardiovaskular, sama seperti melakukan tekan tubi. 


KANAK-KANAK yang mengikuti kelas memanah tradisional PERTAMA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kakitangan awam, Mohamad Zamri Baharom, 45, berkata beliau menghantar anaknya, Syahir Imran Mohamad Zamri, 12, ke kelas memanah tradisional sejak enam bulan lalu dan pelbagai perubahan sudah dapat dilihat pada anaknya.

"Sebelum ini, anak saya tidak pandai bergaul dan suka menyendiri selain tidak suka berkomunikasi dengan orang lain kerana lebih menumpukan perhatian kepada gajet atau permainan video, malah jika sehari tidak makan pun tidak apa.

"Sudah banyak kegiatan saya cadangkan kepadanya dan dia cuba, termasuk kelas muzik serta fotografi, bagaimanapun tidak bertahan lama melainkan kegiatan memanah ini, nampaknya berkesan untuk mengalihkan perhatiannya terhadap gajet dan permainan video selain meningkatkan kemahiran komunikasinya.


KAKITANGAN awam, Mohamad Zamri Baharom. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Dia kini lebih mudah bergaul dan jika menggunakan gajet atau internet, cariannya lebih banyak kepada maklumat berkaitan kegiatan memanah," katanya.

Bagi pelajar, Muhammad Hakim Nor Azhar, 9, yang sudah dua tahun menyertai kelas memanah itu, berkata melalui memanah beliau boleh meluaskan pergaulan selain meningkatkan tumpuan ketika belajar.

"Dalam memanah, kita perlu menumpukan perhatian dan tidak boleh gopoh serta berhati-hati. Jadi, sifat ini saya gunakan ketika belajar," katanya. 

Berita Harian X