Ahad, 3 April 2016 | 12:57am

Agong titah pertahan institusi Kesultanan Kedah


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan memotong kek sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-88 sambil diperhatikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah (dua dari kanan) pada Majlis Jamuan Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah di Istana Negara malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah supaya setiap Ahli Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah menjaga dan mempertahankan institusi kesultanan negeri itu.

Baginda bertitah, institusi Kesultanan Kedah yang telah wujud sejak tahun 1136 adalah warisan bangsa turun-temurun yang harus dibangga dan dipertahankan setiap rakyat Kedah.

"Kebelakangan ini berlaku pula tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengaku diri sebagai Sultan dan menganugerahkan bintang kebesaran palsu.

Perkara karut seperti ini hendaklah dihentikan dengan segera kerana sekiranya dibiarkan akan mencemarkan institusi kesultanan yang sah dan berdaulat di negara Malaysia yang tercinta ini," titah baginda pada Majlis Jamuan Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah di Istana Negara malam ini.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Antara yang hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim juga menaruh harapan tinggi kepada kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Ahmad Bashah untuk terus membawa kemajuan kepada negeri itu.

Baginda bertitah bahawa dengan hubungan erat yang terjalin antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri itu, Kedah akan maju seiring dengan negeri-negeri lain ke arah Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. - BERNAMA

Berita Harian X