Isnin, 4 April 2016 | 3:05pm

Ibu tunggal miliki dadah RM20,000 ditahan

ALOR GAJAH: Seorang ibu tunggal berusia 47 tahun ditahan kerana memiliki dadah dikenali 'kopi' dan Eramin bernilai RM20,000 di rumahnya di Taman Kenanga, di sini, Khamis lalu.

Dalam tangkapan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, suspek yang turut disyaki mengedar dadah berkenaan ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ketika sedang berehat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din, berkata ketika serbuan semua dadah itu termasuk 'kopi' yang dipercayai kali pertama diedarkan di negeri ini ditemui berselerak di atas katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Hasil serbuan polis merampas 400 pil Eramin dan 200 pil 'kopi' dianggarkan bernilai RM20,000.

"Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja di sebuah hotel di negeri ini dipercayai mengedar dadah terbabit sejak kira-kira enam bulan lalu dan hasil ujian air kencing ke atasnya adalah negatif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis IPD Alor Gajah di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Maidu Abu Bakar.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X