Isnin, 4 April 2016 | 3:10pm
Komander Agensi Keselamatan Sempadan Negeri Kedah (AKSEM), Abdul Latif Abd Rahman, (kiri) bersama Komander Agensi Keselamatan Sempadan Bukit Kayu Hitam (AKSEM), Mohd Khairi Abdullah menunjukkan sebuah lori tangki minyak diesel jenis Isuzu bernilai RM243,200 yang dirampas anggotanya semasa membuat rondaan di kawasan Ladang Rakyat Bukit Kayu Hitam. - Foto Shahrul Hafiz Zam

AKSEM Kedah rampas 8,000 liter diesel, petrol seludup

ALOR SETAR: Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) merampas 8,000 liter minyak diesel dan petrol yang dianggarkan bernilai RM15,950 selepas menahan sebuah lori tiga tan dipercayai cuba menyeludup bahan api itu ke negara jiran melalui pintu sempadan Durian Burung, awal pagi tadi.

Difahamkan, anggota AKSEM Kuala Kedah yang diketuai Timbalan Komander Negeri (Risikan), Isalihin Boyahmin bersama lima anggota menahan lori itu pada jam kira-kira 7 pagi di Jalan Padang Sanai menghala ke Durian Burung, dekat sini.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman, berkata pada mulanya anggota AKSEM Kuala Kedah itu membuat rondaan sebelum terserempak dengan lori terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kenderaan itu.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam lori itu kemudiannya mendapati lapan tong dengan setiap satu berisi 1,000 liter bahan api membabitkan 5,000 liter diesel dan bakinya adalah petrol.

Beliau berkata, pemandu dan lori kemudiannya dibawa ke pejabat AKSEM Kuala Kedah, dekat sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berita Harian X