Selasa, 5 April 2016 | 12:38am

FELDA buat Penyu menangis di laman sendiri

PEMAIN Terengganu, Muhd Amirul Syahmi (kiri) diasak pemain Felda United, Carlos Marangoni Filho pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Rentak kemenangan FELDA United dalam kempen Liga Super berterusan selepas melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, di sini, malam tadi.

Kemenangan pada aksi tunggal Liga Super itu turut menyaksikan FELDA United gah mendaki kedudukan puncak liga mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan beraksi, malam ini.

FELDA ketika ini mengumpul 15 mata daripada enam perlawanan, namun JDT yang tidak pernah tewas musim ini mampu merampas kembali kedudukan jika menang ke atas Perak.

Ketika perlawanan baru memasuki minit pertama, tuan rumah tersentak apabila kehilangan pemain tengah, Muhd Shahrin Sapien terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.

Keputusan itu memaksa ketua jurulatih Terengganu, Mike Mulvey membawa masuk pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie.

Perlawanan pada separuh masa pertama tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum tuan rumah berjaya di depan menerusi gol Kalang Tie pada minit ke-24.

Begitupun, FELDA United yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim tidak cepat melatah dan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil gerakan Forkey Doe dengan bola hantarannya ditanduk kemas, D Christie Jayaseelan, dua minit kemudian.

Terikat 1-1 berakhir babak pertama, pelawat memperoleh gol pendahuluan apabila Yong Kuong Yong menanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-66.

Empat minit kemudian, gawang Terengganu bocor lagi hasil gerakan solo Zah Rahan Krangar sebelum Forkey Doe melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 dengan jaringan minit 77.

Perlawanan semakin panas apabila berlaku pertengkaran antara kedua pasukan, namun pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin berjaya meleraikan dengan layanan dua kad kuning kepada Kalang Tie dan Lutfullah Turaev.

Berita Harian X