Selasa, 5 April 2016 | 1:49pm

10,000 premis cetak, jual al-Quran diperiksa sejak 2015


KETUA Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan 2,329 operasi penguatkuasaan sepanjang tahun lalu hingga Februari 2016 terhadap percetakan, penjualan dan pengedaran mashaf al-Quran yang tidak mendapat perakuan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPQ).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata operasi itu merangkumi 10,021 premis percetakan dan premis jualan al-Quran seperti pasar raya dan kedai buku, membabitkan nilai rampasan lebih RM430,000.

"Ini bagi memaklumkan masyarakat bahawa KDN memandang serius dan bertindak tegas terhadap penjualan dan pengedaran mashaf al-Quran yang tidak mendapat perakuan LPPPQ dan juga bahan al-Quran yang menyalahi Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 (Akta 326).

"Berdasarkan akta ini, KDN berperanan mengawal dan memastikan bahan dan teks al-Quran yang diterbit, dicetak, diimport dan diedar di dalam negara tidak mengandungi kesilapan yang boleh menjejaskan al-Quran serta memastikan kesahihan dan mencegah penyelewengan bahan dan teks al-Quran," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan sering dilakukan atau dikesan ialah mengikut Seksyen 5(1) APTQ, iaitu mencetak teks al-Quran tanpa lesen, mengikut Seksyen 8(1) APTQ iaitu teks al-Quran diimport tanpa kelulusan dan mengikut Seksyen 14(1) APTQ, iaitu bahan al-Quran mengandungi kesilapan.

Katanya, KDN sentiasa peka dan prihatin terhadap percetakan serta pengedaran bahan dan teks al-Quran yang boleh memudaratkan kesejahteraan rakyat dan akan terus berusaha membanteras kegiatan seumpamanya.

Beliau menasihatkan masyarakat yang mengesan bahan atau teks al-Quran mengandungi kesalahan atau tidak mendapat perakuan LPPPQ diedarkan di pasaran supaya membuat aduan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 http://moha.spab.gov.my.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Bahagian Komunikasi Korporat (UKOM) KDN Putrajaya di talian 03-88868533/3406/8451/8524.

Berita Harian X