Selasa, 5 April 2016 | 3:44pm

Ammar Habir fobia cerita kahwin tak jadi

Ammar Habir (kanan) di majlis pertunangannya dengan Sheila Abdul.

KUALA LUMPUR: Cerita majlis kahwin tidak jadi yang viral kebelakangan ini membuatkan gitaris kumpulan Drama Band, Ammar Habir, 27, diulit risau.

Ammar yang bakal mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Sheila Abdul, 28, akhir tahun ini, mengaku terlintas dalam fikiran andai perkara sama berlaku ke atas dirinya.

Biarpun hubungan Ammar dan Sheila setakat ini tidak dilanda masalah, namun, gitaris itu menganggap dugaan boleh hadir tanpa dijangka.

"Apabila menonton video viral pasangan pengantin yang tidak menjadi, risau dibuatnya. Maklumlah, saya dan Sheila, dikenali ramai, takut ada yang dengki.

"Bagaimanapun, saya percaya, jika niat kita baik dan ada jodoh, Insya-Allah dugaan mampu diatasi," katanya kepada BH Online.

Ammar dan Sheila mengikat pertunangan pada 20 Disember lalu di rumah keluarga Sheila di Taman Ihsan Jaya, Johor Bahru.

Pasangan selebriti itu bertunang selepas setahun bercinta. Bagaimanapun, mereka sudah lama berkenalan sejak terbabit dalam bidang seni.

Dalam perkembangan lain, Ammar memberitahu, dia baru mencipta lagu berjudul Kata Hati bersama penulis lirik tersohor, Habsah Hassan yang ditujukan khas buat Sheila.

Akui Ammar, selain sibuk menghadiri undangan persembahan bersama Drama Band, dia mula mengembangkan karier dengan menggubah lagu.

"Setakat ini, saya menghasilkan lagu untuk penyanyi Sarah Fazni berjudul Tak Mungkin. Lirik lagu itu dihasilkan Iman Imran. Selain itu, saya ada cipta lagu Ku Tak Mahu Cinta nyanyian Sandra.

"Saya juga menerbitkan lagu Tasha Manshahar berjudul Bukan Aku. Alhamdulillah, semakin ramai pihak yang percaya kebolehan saya. Insya-Allah, saya akan bekerjasama dengan beberapa syarikat rakaman tempatan," ujarnya.

Beliau bersyukur kumpulan Drama Band mempunyai kelompok peminat dalam kalangan pelajar universiti.

"Sejak penubuhan Drama Band, pelajar universiti yang banyak menaikkan nama kami.

"Mereka tidak henti-henti menyokong dengan menjemput kami mengadakan persembahan di universiti mereka. Kami harap sokongan ini akan kekal," katanya sambil menambah band itu baru melancarkan single berjudul Mencintai Kamu ciptaan Aepul.

Berita Harian X