Selasa, 5 April 2016 | 10:17pm

Khidmat pengendali makanan SMS Tapah ditamatkan

TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk P.Kamalanathan. - Foto L. Manimaran
TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk P.Kamalanathan. - Foto L. Manimaran

IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menamatkan perkhidmatan pengendali makanan di dewan makan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tapah yang mengakibatkan 43 pelajar sekolah berkenaan mengalami keracunan makanan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pihaknya memandang serius perkara itu berikutan pengendali makanan berkenaan melakukan kecuaian sehingga mengakibatkan keracunan.

"KPM juga melihat kemungkinan untuk menyenaraihitamkan pengendali terbabit dan tidak membenarkannya beroperasi di mana-mana kantin sekolah di negara ini sehingga siasatan kes itu selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam bersama pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, berkata lapan pelajar sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tapah sehingga jam 11 pagi tadi manakala 14 pelajar yang masih dirawat di bilik rawatan sekolah berada dalam keadaan stabil dan tidak memerlukan rawatan susulan di hospital.

Katanya, kementerian juga sudah mengarahkan dewan makan itu menghentikan operasi selama 14 hari mengikut Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.

"Sementara dewan berkenaan ditutup, pihak sekolah terbabit boleh mendapatkan perkhidmatan katering dari sekolah berdekatan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X