Rabu, 6 April 2016 | 2:27pm

Tolak individu rosakkan parti: Idris Haron


Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan serangan terhadap kepemimpinan UMNO, sebagai suara ahli akar umbi.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kenyataan itu tepat dengan ikrar ahli yang menolak mana-mana pihak yang mahu merosakkan parti dengan menjatuhkan pemimpin sedia ada menerusi cara tidak demokratik. 

"Kita sudah mengaku dan berikrar menerima diri kita sebagai subjek politik. Hari ini ada orang cuba memfitnah, memusnah dan merosakkan parti kita. Siapa saja yang cuba berbuat demikian, kita (pasti) akan tolak mereka habis-habisan. 

"Itulah (sebenarnya) kita berjuang atas nama politik UMNO," katanya selepas menutup Karnival Sukan UMNO Bahagian Tangga Batu di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), di sini tengah malam tadi.

Semalam, Nazri yang juga Ahli MT UMNO menggesa Dr Mahathir menghentikan serangan dan cubaan menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin lain menerusi cara tidak demokratik, sebaliknya menunggu pilihan raya jika mahu berbuat demikian.

Berita Harian X