Khamis, 7 April 2016 | 12:03am

Keberkatan meliputi seluruh aspek kehidupan

SOALAN: Apakah benar keberkatan hanya terdapat dalam harta dan tidak berlaku dalam nikmat lain. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan:

Tidak benar. Keberkatan yang dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya sangat luas dan tidak tertumpu kepada harta semata-mata tetapi meliputi semua sudut nikmat dalam kehidupan manusia. Keberkatan dalam perkahwinan ialah apabila pasangan dapat merasai kebahagiaan, ketenangan, kesabaran dan kasih sayang sepanjang melayari bahtera rumah tangga.

Setiap masalah berjaya diselesaikan dengan baik dan terancang. Ini adalah keberkatan yang patut disyukuri oleh setiap pasangan yang bertakwa.

Ramai yang menyangka keberkatan tidak turun kepada anak dan itu satu tanggapan yang salah. Anak pada hakikatnya turut menerima tempias keberkatan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT. Bukti keberkatan pada anak ialah apabila mereka mudah menerima nasihat, hidup dalam ketaatan, mudah belajar, hidup senang di hari muka serta tidak menyusahkan ibu bapa.

Semua ini anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya namun, tidak ramai dalam kalangan manusia yang menyedarinya.

Manfaat ilmu

Keberkatan ilmu akan dapat dirasai apabila seseorang itu berjaya mengambil manfaat daripada ilmu dipelajarinya walaupun sedikit. Ia lebih mulia berbanding orang yang banyak ilmu tetapi tidak langsung mendapat manfaat daripada ilmunya itu.

Pangkat juga anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya. Keberkatan boleh dirasai seseorang apabila pangkat yang disandangnya itu mampu meningkatkan lagi integriti, amanah, keadilan dan ketakwaan kepada Ilahi.

Lebih jelas lagi keberkatan terhadap pangkat itu apabila pemegangnya berjaya membantu orang bawahan untuk turut berjaya dalam kerjaya. Tidak cukup dengan itu, mereka saling membantu untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Berita Harian X