Khamis, 7 April 2016 | 4:59pm
SHARNAZ Ahmad (kiri) dan Scha Al Yahya pada pelancaran program Gempak Superstar 2016. - Foto Adi Safri

Scha harap peminat terima gandingannya dengan Sharnaaz

KUALA LUMPUR: Selepas setahun lebih tidak mengacara, Scha Alyahya kembali melepaskan rindu di bidang berkenaan dengan mengendalikan program terbaharu, Gempak Superstar.

Kali akhir menggalas tugas sebagai hos pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-29, Januari 2015, bergandingan dengan AG, menerusi program siaran saluran berbayar itu nanti Scha memikul amanah terbabit bersama Sharnaaz Ahmad.

Pernah mengendalikan beberapa program seperti Sehati Berdansa dan Melodi, Scha berkata, jika sebelum ini gandingannya terdiri daripada personaliti lebih berpengalaman di bidang terbabit, suasana agak berbeza menerusi rancangan realiti itu.

"Jika diikutkan, saya sendiri belum begitu kukuh kedudukan dalam dunia pengacaraan. Justeru, sebelum ini saya banyak juga mendapat bimbingan daripada rakan pengacara lebih berpengalaman, seperti AG. Beliau memang banyak memberikan input selain tidak lokek ilmu.

"Kali ini, saya bergandingan Sharnaaz yang masih baharu di bidang ini. Justeru, ia memberikan cabaran berbeza. Saya perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal," katanya.

Menurut Scha, Sharnaaz yang dikenalinya adalah seorang yang selamba dan sangat kelakar.

"Kami pun sudah lama saling mengenali dan saya berharap, penonton akan nampak keserasian kami di atas pentas buat kali pertama mengendalikan rancangan terbabit secara langsung, 10 April ini," katanya yang pernah berlakon dengan pemuda itu dalam drama Kita sekitar 2010 dan telefilem Prebet Jamilah.

Bagi pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah ini, risiko mengacarakan program secara langsung sangat tinggi.

"Tidak kisahlah bergandingan dengan sesiapapun, program secara langsung cukup mencabar diri. Apa saja insiden tidak terduga seperti gangguan teknikal dan penyampaian akan nampak serta-merta. Dalam hati, perasaan takut andai terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya juga sering menjelma," kata Scha yang baru-baru ini memikat hati penonton dengan drama Isteri vs Tunang.

Berita Harian X