Khamis, 7 April 2016 | 10:35pm

Tetap sukar jumpa Timor Leste - Kim Swee


JURULATIH Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee bercakap kepada media selepas majlis Cabutan Undian Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE di AFC House hari ini.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swe berkata aksi berdepan Timor Leste pada kelayakan play-off Piala Asia 2019 tetap sukar walaupun pernah bertemu dua kali pada pusingan kelayakan kedua, tahun lalu.

Skuad kebangsaan yang sebelum ini, dibimbing Dollah Salleh, seri 1-1 berdepan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Jun lalu, sebelum Kim Swee yang mengambil alih sementara skuad kebangsaan mencatat kemenangan tipis 1-0 di Dili pada 13 Oktober.

"Walaupun pernah bertemu Timor Leste sebelum ini, kita semua tahu pasukan ini bukan mudah untuk dikalahkan walaupun menang di tempat lawan.

"Saya percaya dengan adanya pemain naturalisasi mereka, sudah tentu beri saingan yang sengit kepada kita," katanya mengulas keputusan undian aksi kelayakan play-off Piala Asia 2019, di sini, hari ini.

Undian berkenaan diadakan di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil, hari ini.

Lapan pasukan lagi akan turut berentap dalam empat perlawanan play-off bagi mengesahkan lima slot ke pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019.

Empat perlawanan berkenaan membabitkan Taiwan berdepan Kemboja, Maldives menentang Yaman, Tajikistan bertemu Bangladesh, dan Laos berdepan India.

Malaysia akan melayan kunjungan Timor Leste pada aksi pertama 2 Jun ini, sebelum berkunjung ke Dili, selang lima hari kemudian bagi menentukan pasukan yang layak ke pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019.

Sebagai rekod, Malaysia terpaksa bersaing dalam perlawanan play-off untuk mara ke pusingan kelayakan terakhir Piala Asia 2019, selepas menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, sebelum ini.

Kim Swee berkata pemain akan melaporkan diri untuk sesi latihan skuad kebangsaan selepas perlawanan Liga Super pada 22 April ini, dan mereka bakal diuji dalam satu aksi persahabatan menentang pasukan benua Asia sebelum berlepas ke Dili pada 3 Jun.

"Ada beberapa pasukan menunjukkan minat dan hari ini kita sudah mengenal pasti beberapa negara Asia yang ingin bermain dalam perlawanan persahabatan (dengan kita)," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Kim Swee menjelaskan pertemuan beliau dengan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Johor Baharu, semalam, bertujuan untuk mewujudkan peluang kerjasama antara juara bertahan Liga Super itu dengan skuad kebangsaan.

"Saya berharap kerjasama ini boleh berterusan sampai bila-bila. Kemungkinan besar kita akan menjalani latihan di Johor Baharu kerana kita tahu JDT mempunyai fasiliti terbaik di negara ini dan antara yang terbaik di Asia," katanya.

Sebelum ini, pengendali JDT Mario Gomez mendakwa prestasi pemainnya merudum setiap kali kembali daripada mewakili skuad kebangsaan untuk tugasan antarabangsa, sebelum Kim Swee mengeluarkan kenyataan balas bahawa komen sedemikian tidak wajar dikeluarkan oleh seorang jurulatih. - BERNAMA

Berita Harian X