Jumaat, 8 April 2016 | 7:48pm

Jenazah hakim Shah Alam selamat dikebumikan


ANAK tiri Raja Zulaikha (kiri), Raja Nabila (kanan) serta Raja Abdul Hakim (dua kanan) menabur bunga di pusara ibu tirinya di tanah perkuburan islam Kampung Raja Uda Pelabuhan Klang.- Foto Nazran Jamel

KLANG: Jenazah Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Datuk Noradidah Ahmad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, dekat sini, jam 3.15 petang tadi.

Allahyarham, 55, meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya, kira-kira jam 7 petang semalam.

Suaminya, Raja Abdul Samad Raja Abdul Wahid, 62, berkata Allahyarham mula mendapat rawatan di IKN pada Februari lalu selepas menjalani rawatan alternatif sejak 10 bulan lalu.

Katanya, Allahyarham dikesan menghidap kanser pada Mei tahun lalu, apabila mengalami batuk berdarah ketika mereka bercuti di Istanbul.

"Selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga, Allahyarham menjalani rawatan alternatif dan tetap meneruskan tugas seperti biasa.

"Bagaimanapun, kesihatannya merosot sejak dua minggu lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir petang semalam," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, di sini, hari ini.

Selain suami, Allahyarham turut meninggalkan tiga anak, Raja Zulaikha, 32; Raja Nabil, 27; dan Raja Abdul Hakim, 21.

Allahyarham Noradidah memulakan tugas dalam bidang perundangan pada tahun 1985 dan pernah menjadi hakim di Mahkamah Ampang serta Pengarah Mahkamah Pahang.

Berita Harian X