Jumaat, 8 April 2016 | 10:50pm

Badrul Hisyam menang emas 100m Terbuka Filipina


BADRUL Hisyam Abdul Manap . - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa apabila meraih emas acara pecut 100 meter (m) dengan catatan 10.39s pada Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina, hari ini.

Pingat perak juga milik atlet negara yang diperoleh menerusi Khairul Hafiz Jantan selepas merakamkan kepantasan 10.41s.

Gangsa milik pelari tuan rumah, Brandon Thomas dengan catatan masa 10.60s.

Atlet berusia 19 tahun itu dijadualkan bersaing dalam acara 200m bersama Khairul Hafiz esok.

Sebagai rekod, Badrul Hisyam dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor sebelum ini meraih emas pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG), Brunei, 2015 dengan catatan 10.29s serta merakamkan 10.34s (+1.9) pada aksi separuh akhir Terbuka Pahang untuk menghasilkan rekod kebangsaan remaja yang baharu

Dalam perkembangan sama, dalam acara 400m pula, Muhammad Azam Masri, 20, meraih perak buat negara selepas mencatatkan 46.90s.

Pingat emas milik Edgardo Alejan (Airforce L Time Studio) dengan catatan 46.89s dan gangsa milik Joan Caido (University of Baguio), 47.93s.

11 dibaca
Berita Harian X