Sabtu, 9 April 2016 | 7:39am

Penjelasan bijaksana rungkai permasalahan berkaitan Islam


KEHEBATAN Dr Zakir menyampaikan syarahan membantu merungkai persoalan agama dalam diri masyarakat.

SETIAP kali syarahan Dr Zakir Abdul Karim Naik diadakan, pasti mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan pendengar dari seluruh pelosok negara terdiri daripada yang beragama Islam serta pelbagai latar belakang agama seperti Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan golongan berfahaman Atheis.

Pengalaman Dr Zakir yang popular dengan panggilan Dr Zakir Naik menyampaikan lebih 2,000 syarahan menyaksikan ramai pendengar bukan Islam akhirnya menganut agama Islam di tangan beliau.

Tidak kurang juga yang bersikap skeptikal menyanggah hujah diberikan. Bukan sekadar mencerca peribadi Dr Zakir, bahkan turut menuduh beliau menggunakan beberapa teknik memukau hadirin untuk mempercayai setiap apa diperkatakannya.

Bagaimanapun, melihat kepada ketokohan Dr Zakir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman telah mengundang beliau untuk hadir memberikan syarahan ilmiah di Terengganu seiring prinsip kelapan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) untuk Memperkasakan Pendidikan sekali gus merealisasi jolokan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Dr Zakir dilahirkan di Mumbai pada 18 Oktober 1965, memiliki ijazah dalam bidang perubatan (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) dari University of Mumbai, India. Beliau pernah berkhidmat sebagai doktor sebelum beralih ke bidang dakwah pada 1991.

Mengambil inspirasi daripada Almarhum Ahmad Deedat, beliau mulai aktif dalam bidang dakwah dengan memberi fokus kepada remaja Islam berpendidikan yang semakin meragukan agamanya serta menganggap Islam adalah agama kuno.

Miliki daya ingatan kuat

Beliau juga berpendapat menjadi tugas setiap individu Muslim untuk menghakis salah faham terhadap Islam serta menanggapi sikap berat sebelah Barat dalam menilai Islam yang sebenar. Gelaran sebagai Walking Computer telah dinisbahkan kepada Dr Zakir kerana keistimewaannya memiliki daya ingatan kuat.

Kebolehan berhujah dalam merungkai permasalahan perbandingan antara agama juga menyebabkan beliau digelar 'Deedat Plus' pada 1994. Semua fakta dan ayat yang dinyatakannya secara bersahaja tanpa merujuk kepada sebarang teks.

Pada Mei 2005, beliau menerima anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya, 'Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama empat tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah'.

Setiap kali slot syarahan diadakan, menjadi kewajipan untuk beliau bersoal jawab bersama penonton dan pendekatan digunakan ialah sentiasa memuji mereka yang bertanyakan soalan meskipun ia dianggap remeh bagi sesetengah pihak.

Hindari perdebatan sia-sia

Sebarang cabaran perdebatan yang dianggap sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada Islam akan sentiasa beliau hindari. Ini dapat dilihat apabila beliau meletakkan syarat untuk mengumpulkan 10,000 orang apabila dicabar oleh seorang paderi berdebat di hadapan orang ramai.

Jika tidak, beliau menyarankan paderi itu berjumpa sahaja dengan anak muridnya yang akan menjawab semua persoalan. Pada hemat beliau, kenapa perlu membazirkan masa berdebat dengan orang yang tidak mempunyai pengaruh, bahkan hanya akan membuatkannya terkenal sahaja.

Dr Zakir seorang yang sangat tegas dalam menjawab setiap soalan diajukan. Fokus soalan akan ditentukan terlebih dahulu kemudian dijawab tanpa sebarang celahan sehingga selesai.

Kebijaksanaan memberi analogi yang bersifat nyata dilihat sangat membantu hadirin memahami maksud yang ingin disampaikan. Pengetahuan manusia hanya terhad kepada pancaindera yang telah dikurniakan sahaja. Beliau juga tidak mudah menyalahkan sesiapa apabila diajukan perkara yang beliau tidak arif kesahihannya.

Pandangan ini dapat dilihat ketika beliau membicarakan tragedi keruntuhan World Trade Centre pada 11 September 2001.

Apabila seluruh dunia menuding jari kepada Osama Laden, Dr Zakir mengambil pendekatan harmoni dengan mengatakan: "Siapapun yang menjadi dalang terbunuhnya 3,000 orang di WTC, maka dia bersalah. Allahlah yang akan mengadilinya, kerana membunuh orang yang tidak berdosa adalah haram hukumnya di dalam Islam."

Apabila soalan membabitkan hukum-hakam Islam pula, beliau tidak terus meletakkan sesuatu perkara itu adalah haram. Bahkan beliau menggunakan pendekatan mengelakkan dosa yang lebih besar tanpa menghalalkan dosa lebih kecil.

Namun, beliau berdoa dan mengharapkan supaya dielakkan dosa besar terdahulu, iaitu mensyirikkan Allah SWT kemudian perlahan-lahan meninggalkan dosa lain yang lebih kecil.

Kesimpulannya, Islam bukanlah seperti cerita Islamophobia yang digembar-gemburkan oleh media massa Barat. Islam juga bukan diukur melalui individu Muslim yang sering melakukan dosa dan silap. Berpegang teguh kepada al-Quran dan sunah, nescaya akan ditemukan kebenaran serta panduan.

Apabila diri sendiri tidak mampu menemukan jawapan, maka carilah pakar yang boleh membantu seperti firman Allah SWT bermaksud: "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahl, ayat 43)

Rungkai persoalan agama

Sehubungan itu, usaha kerajaan Terengganu menganjurkan program Dr Zakir Naik Terengganu Tour bermula 9 hingga 14 April ini baik bagi merungkai persoalan agama yang berlegar dalam masyarakat Malaysia amnya dan rakyat Terengganu khasnya.

Empat siri syarahan Dr Zakir akan berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak pada jam 9 malam Ahad ini dan di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada jam 10 pagi Isnin.

Selain itu, syarahan umum di Sekolah Menengah Imtiaz, Besut pada jam 9 malam Selasa diikuti di Padang Astaka Kemaman pada jam 9 malam Khamis.

Penulis ialah Felo Institut Integriti dan Strategik Terengganu (TSIS)

Berita Harian X