Ahad, 10 April 2016 | 3:27pm

Che Ta tak perasan gambar anjing pada baju anak


PELAKON, Rozita Che Wan.

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan, 43, menyifatkan isu anaknya memakai baju panas dengan gambar anjing seperti yang tersebar di laman sosial hanyalah perkara kecil dan tidak perlu diperbesarkan netizen.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia tidak sedar gambar pada sweater terbabit dan membelinya kerana cantik dan menggunakan fabrik selesa.

"Saya tak perasan gambar itu berupa anjing. Ini kerana setiap kali membeli belah, saya akan membeli pakaian dalam jumlah banyak. Jadi, tak sempat hendak membelek setiap satu.

"Budak kecil memakai kemeja-T seperti itu tidak bermaksud apa-apapun. Saya hanya menganggap gambar anjing itu seperti kartun pada baju berkenaan. Come on... Get a life, take it easy! Ia hanya sehelai kemeja-T," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Che Ta sekali lagi menjadi bualan apabila memakaikan anaknya, Aaisyah Dhia Rana baju panas yang tertera gambar anjing.


BAJU panas Aaisyah yang tertera gambar anjing.

Ramai pengikut memberi komen baju panas terbabit tidak sesuai dipakai Aaisyah. Mereka menganggap aktres itu sepatutnya lebih peka dalam memilih pakaian untuk anaknya.

Che Ta berkata, dia tidak kisah dengan komen netizen. Malah, dia tidak mempunyai masa untuk membaca setiap komen dalam akaun Instagram miliknya.

"Saya tak ada masa nak baca komen-komen itu. Macam dah tak ada kerja hendak membelek komen pada laman Instagram setiap masa... Biarkan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta yang sedang bercuti di Perancis bersama keluarga, sibuk membuat beberapa perancangan mengembangkan perniagaan minyak wanginya.

"Selain bercuti, saya juga sedang menguruskan beberapa perkara mengenai perniagaan minyak wangi saya di sini," katanya.

98 dibaca
Berita Harian X