Rabu, 13 April 2016 | 6:41pm

Kerajaan Kelantan mahu jemput Dr Zakir beri ceramah


Penceramah ulung antarabangsa, Dr Zakir Naik ketika memberi ceramah di Imtiaz Besut. - Foto Rozainah Zakaria

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia menjemput Dr Zakir Naik mengadakan ceramah di negeri ini selain disertai badan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk berdialog secara terbuka dengan beliau.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri akan menghubungi penganjur dalam masa terdekat untuk tujuan itu.

"Mungkin beliau (Dr Zakir) masih mempunyai masa untuk datang berceramah di sini (Kelantan) dan kita akan memberi tajuk yang sesuai.

"Insya-Allah, ia akan berlandaskan Islam dan keharmonian sejagat serta bagi mengikis salah faham, dan budaya ekstremisme di kalangan pelbagai agama di negara ini," katanya kepada media di sini, tadi.

Diminta mengulas mengenai ceramah Dr Zakir sama ada menghina agama lain, Mohamed Fadzli berkata, Kerajaan Kelantan menyifatkan Dr Zakir tidak mempunyai unsur merosakkan perpaduan kaum malah lebih kepada membuka minda dan menganjurkan kebaikan.

Beliau berkata, amat malang apabila ada pihak melihat secara negatif terhadap Islam sehingga membawa usaha menghalang Dr Zakir memberi ceramah agama.  

Berita Harian X