Jumaat, 15 April 2016 | 12:04am
MOTOSIKAL klasik dan beca antik antara yang dipamerkan dan sedia untuk dijual oleh Kedai Antik Suhaimi. - Foto Samadi Ahmad
JAM dinding dan perabot lama yang menjadi tarikan pengunjung untuk singgah di Kedai Antik Suhaimi. - Foto Samadi Ahmad
MESIN juruwang antik dan klasik antara yang boleh ditemui di Kedai Antik Suhaimi. - Foto Samadi Ahmad

Khazanah Kedai Antik Suhaimi


SEMENYIH: Peminat barangan antik pasti teruja jika mengunjungi Kedai Antik Suhaimi dekat Pekan Beranang di sini.

Meskipun premisnya kelihatan usang, namun ia pasti menarik perhatian mereka yang lalu di hadapannya untuk singgah melihat khazanah yang tersorok di situ.

Deretan telefon lama, penimbang, lampu minyak tanah tembaga yang berukir halus, jam loceng, mesin jahit lama sehinggalah basikal tua adalah antara koleksi dipamerkan hadapan kedai terbabit sebagai halwa mata.

Menjenguk ke dalam kedai terbabit, mata pengunjung pasti tertarik kepada ratusan barangan antik lain yang dipamerkan termasuk perhiasan tembaga, jam dinding, pinggan mangkuk, almari, alatan muzik  dan perhiasan diri.

Tidak ketinggalan, sebuah beca yang berusia lebih 50 tahun, radio antik dan motosikal lama turut menjadi perhatian pengunjung.

Pemiliknya, Suhaimi Ayob, 53, berkata kebanyakan barangan yang dipamer di situ berusia lebih 30 tahun, terdiri daripada koleksi peribadi dan hasil pencarian di seluruh negara.


SUHAIMI bersama beca berusia lebih 50 tahun. - Foto Samadi Ahmad

ANTARA barangan antik yang dipamerkan di Kedai Antik Suhaimi. - Foto Samadi Ahmad

Beliau berkata, minat yang berputik sejak dari zaman persekolahan itu secara tidak langsung mengubah kediamannya menjadi gedung khazanah barangan antik, sebelum semuanya dipindahkan ke kedainya di pekan Beranang. 

Katanya, kedai barangan antik itu dibuka bersama adiknya, Mohd Fadli Ayob, kira-kira lima tahun lalu.

"Mulanya hanya sekadar hobi, lama kelamaan terfikir juga untuk berkongsi barangan yang ada dengan penggemar barang antik lain dan dari situ lahirlah idea membuka kedai ini.

"Saya sebenarnya tidak tahu cara menilai sesuatu barangan antik. Namun berkat dorongan dan minat yang mendalam, ilmu itu dipelajari sedikit demi sedikit dan akhirnya saya menguasai kemahiran menilai keaslian atau nilai barang antik," katanya.

Bekas pengawal keselamatan Bank Bumiputra di Kuala Lumpur itu berkata, walaupun kebanyakan barangan lama adalah koleksi peribadi namun beliau sedia menjualnya kepada pelanggan yang berminat meskipun kadang-kala sukar melepaskannya.

Berbicara mengenai barang lama yang mempunyai tarikan tersendiri seperti botol, lukisan, hiasan dinding dan sebagainya, Suhaimi berkata, beliau lebih gemar mengumpul barangan dan kraftangan antik yang mempunyai nilai serta ciri kebudayaan warisan Melayu.  


DERETAN telefon lama di Kedai Antik Suhaimi dekat Pekan Beranang, Semenyih. - Foto Samadi Ahmad

SEBAHAGIAN barangan antik yang dipamerkan untuk jualan di Kedai Antik Suhaimi. - Foto Samadi Ahmad

Katanya, antara koleksi yang cukup istimewa adalah sebuah beca berusia lebih 50 tahun, yang mana pemilik asalnya seorang penggemar barang antik dan agak keberatan menjual kepada beliau.

Bapa kepada empat anak itu, berkata kedainya menyimpan ratusan barangan antik yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit dan ada di antaranya sukar ditemui sekarang.

"Saya kerap keluar masuk kampung bertanyakan penduduk setempat jika mereka mahu menjual barangan antik atau lama. Ada juga barangan lama yang saya anggap mampu menghidupkan nostalgia zaman kanak-kanak.

 

"Contohnya, radio dan televisyen zaman dahulu, ketika kebanyakan keluarga tidak mampu memilikinya dan terpaksa membayar 10 sen ketika menonton televisyen di rumah jiran.

"Mungkin sekarang, apabila sudah mampu, ada yang mahu membeli televisyen lama ini bagi mengimbau kenangan zaman kanak-kanak mereka.


MINAT Suhaimi terhadap barangan antik dipupuk sejak di bangku sekolah. - Foto Samadi Ahmad

"Saya gemar melihat barangan antik, terutama yang keluarga tidak mampu miliki dulu. Sekarang, walaupun usia sudah menjangkau separuh abad, ada kalanya saya menghiburkan diri dengan menonton siaran di televisyen lama," katanya.

Beliau berkata, ada dalam kalangan pelanggannya meminati barangan permainan dan basikal antik kanak-kanak yang menjadi koleksinya selepas dia bersama sembilan adik beradiknya tidak merasa mengguna basikal ketika kecil berikutan kesempitan hidup keluarga.

Suhaimi juga tidak menafikan wujudnya rasa puas apabila memiliki koleksi basikal antik serta barangan lama lain dan mengakui hatinya kerap sebak kerana secara tidak langsung teringat kepada emak, ayah dan adik beradik.

Beliau juga bangga kerana kedai antiknya itu kini ibarat sebuah galeri kecil di kampungnya, yang menjadi tatapan penduduk setempat selain pelancong yang berkunjung ke daerah ini.

"Khazanah ini harus dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka lebih mengenali dan menghargai barangan lama yang digunakan nenek moyang kita," katanya.

Berita Harian X