Jumaat, 15 April 2016 | 12:52am

Nauraj Singh, Muhammad Hakimi berpotensi ke Rio


Nauraj Singh Randhawa (kiri) dan Muhammad Hakimi Ismail beraksi.

KUALA LUMPUR: Hanya dua atlet olahraga yang dilihat berpotensi untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata berdasarkan prestasi semasa, atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dan lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail berpeluang cerah ke Rio berbanding atlet lain.

"Pada masa ini, tiada atlet layak secara merit. Kita masih mempunyai masa sehingga 12 Julai, tetapi kita perlu bekerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), bila kita sepatutnya perlu mengemukakan nama agar MOM boleh membuat kad akreditasi.

"Jika masih tiada atlet layak secara merit, kita mungkin menyenaraikan masing-masing seorang atlet lelaki dan wanita menerusi penyertaan 'wild card'," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penganjuran Sirkit Remaja Kebangsaan 2016, di antara SportExcel, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Milo di sini, hari ini.

Untuk rekod, Nauraj, 24, berjaya memperbaharui catatan peribadi 2.25 meter bagi memadamkan rekod lama 2.22m pada Kejohanan Canberra Track Classic di Canberra, Australia, Februari lalu.

Hakimi pula berjaya melakukan lompatan sejauh 16.76m untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Singapura tahun lalu.

Catatan itu memadamkan rekod lama temasya 16.51m yang dilakukan atlet Thailand, Theerayut Pilakong di Vientiane, Laos pada 2009.

Hakimi turut memperbaharui rekod kebangsaan 16.44m yang menjadi miliknya ketika memenangi pingat perak Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Pada Olimpik 2012 di London, Noraseela Khalid dan Lee Hup Wei masing-masing mendapat tiket wild card ke temasya itu dalam acara 400 meter dan lompat tinggi.

Kali terakhir atlet olahraga negara layak ke Olimpik secara merit ialah pada 2008 menerusi Roslinda Samsu (lompat galah), Yuan Yufang (20km jalan kaki) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi). -BERNAMA

Berita Harian X