Jumaat, 15 April 2016 | 2:43pm

Zahirah enggan dikenali dengan publisiti murah

PELAKON, Zahirah Macwilson dan Zul Ariffin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon Zahirah Macwilson, 21, mengaku dirinya masih menjalinkan hubungan cinta dengan bintang Rindu Awak 200%, Zul Ariffin.

Bagaimanapun, beliau tidak lagu mahu memperbesarkan perkara itu selain meletakkan batas antara kisah peribadi dengan kerjaya seni.

Pada masa sama, pelakon drama Mencintaimu ini turut berkata beliau selesa untuk dikenali dalam industri seni hiburan menerusi produk dijayakannya, bukan hasil publisiti murahan.

"Baru-baru ini saja saya membuat kenyataan mengenai kisah cinta kami. Cukuplah sekadar perkongsian kami masih menjalinkan hubungan dan masing-masing enggan lagi memperbesarkan perkara itu.

"Saya bukan jenis yang gemar memuat naik gambar peribadi dan begitu juga dengan Zul. Mungkin ada yang membuat andaian kami berpisah kerana jarang memuat naik gambar bersama," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai perjalanan kerjaya seninya yang dilihat semakin suram, Zahirah menjelaskan dirinya baru saja selesai menjalani penggambaran tiga telefilem, bermula Mac lalu.

Malah, beliau juga bakal tampil dengan drama rantaian Demi Cinta Ain untuk siaran TV3, tidak lama lagi.

"Seperti semua sedia maklum, proses penyuntingan dan penggambaran memakan masa. Mungkin ada sesetengah pihak yang membuat spekulasi kerana jarang melihat wajah saya di kaca televisyen untuk satu tempoh waktu.

"Saya baharu saja selesai penggambaran sebuah drama rantaian dan meneruskan kerja menjayakan tiga lagi telefilem. Rutin harian saya diisi dengan penggambaran dan sekiranya ada kelapangan, saya akan pulang menjenguk keluarga di Perth," kata Zahirah.

Berita Harian X