Sabtu, 16 April 2016 | 12:13am

Bakteria punca mulut berbau

PERNAHKAH mengalami keadaan di mana ketika bercakap, tiba-tiba rakan seakan menjauhkan jaraknya daripada anda?

Ramai tidak menyedari nafas berbau busuk, bagaimanapun mereka yang berhampiran anda boleh menghidunya.

Penyakit nafas berbau atau dalam perubatan dikenali sebagai Halitosis iaitu daripada perkataan Greek yang bermakna nafas busuk (halit) dan penyakit (osis).

90 peratus punca helipotis

Pakar Periodontik dan Pensyarah Pergigian Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Buloh, Dr Mohd Faizal Hafez, berkata dianggarkan 90 peratus masalah halitosis berpunca daripada bakteria dalam mulut.

Bakteria ini kata beliau, mengeluarkan gas 'volatile sulphur compound' atau VSC punca bau busuk.

Penyakit ini katanya, sensitif kerana memberikan kesan psikologi. Ramai tidak sanggup menegur individu berbau busuk ketika membuka mulut menyebabkan ramai yang tak sedar mereka mengalaminya.

Halitosis terbahagi kepada tiga kategori iaitu;

  • Halitosis Tulen (genuine) terbahagi kepada patologikal dan fisiologikal.
  • Halitosis Patologikal di kategorikan sebagai patologi dalam mulut yang menyebabkan bau.
  • Fisiologikal pula berpunca daripada pemakanan seperti bawang dan durian.

Pesakit yang mengalami Halitosis Pseudo turut berhadapan masalah psikologi dan sering merasakan mempunyai nafas berbau walaupun tiada masalah berkenaan.

Halitosis jenis Halitophobia dialami mereka yang pernah mengalami nafas berbau dan sudah dirawat. Bagaimanapun, mereka tetap kurang keyakinan.

Pesakit yang mengalami Halitosis Pseudo tidak boleh dirawat doktor gigi sebaliknya perlu dirujuk kepada pakar psikologi.

Halitosis juga boleh berpunca daripada bakteria di dalam mulut sama ada di lidah, gusi, gigi dan lelangit.

Bakteria paling banyak terdapat di atas permukaan lidah kerana kawasan itu sangat lembab dan anatomi menggerutu sesuai untuk pembiakan.

Elak bersihkan lidah guna berus gigi

Masalah seperti penyakit gusi, gusi berdarah atau bengkak turut menjadi tumpuan bakteria yang turut mengeluarkan gas VSC.

Dr Mohd Faizal, berkata bakteria memang tidak boleh dilihat kecuali dengan menggunakan cecair khas.

"Cecair yang seakan dakwat berwarna ungu akan disapukan di atas lidah, lelangit, gusi dan gigi.

"Sebaik disapu, kawasan yang mempunyai bakteria bertukar warna kepada ungu lebih terang," katanya.

Katanya, jika kawasan yang bertukar warna lebih terang kurang daripada 25 peratus bermakna jumlah bakteria tidak tinggi.

"Pertukaran warna melebihi 25 peratus pula menandakan individu tadi memerlukan rawatan mencegah bakteria.

"Prosedur membersihkan lidah dengan memberus bahagian itu menggunakan alat khas 'pencakar lidah'.

"Anda tidak digalak menggunakan berus gigi memberus lidah kerana kaedah itu menyebarkan bakteria ke seluruh mulut," katanya.

Gejala awal serangan penyakit serius

Punca awal masalah mulut berbau disebabkan jangkitan bakteria di kawasan gigi, gusi dan lidah.

Bakteria anerobik ini menghasilkan asid sulfur atau metana melalui proses dekomposisi (pereputan), punca nafas berbau.

Keadaan ini boleh dirawat seperti memberus gigi dan lidah dengan betul, gunakan benang pembersih gigi (floss) dan ubat berkumur menggunakan cecair antiseptik.

Sekiranya bau berkenaan masih ada pesakit perlu dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak atau otorinolaringologi.


90 peratus masalah halitosis berpunca daripada bakteria dalam mulut. - Foto hiasan

Gejala awal penyakit serius

Pakar Otorinolaringologi, Dr Mawaddah Azman, berkata tanda disedari bahawa punca mulut berbau adalah petanda gejala penyakit lain yang lebih serius.

Beliau berkata, pemeriksaan fizikal dan endoskopi perlu dilakukan secara menyeluruh.

"Pakar juga boleh meneliti jika ada kesan benjolan di tengkuk atau perubahan suara iaitu gejala awal penyakit lebih serius seperti barah," katanya.

Gangguan tonsil

Mulut berbau juga kata Dr Mawaddah menandakan seseorang itu mengalami masalah batu di dalam tonsil (tonsilolith).

Beliau berkata, ini disebabkan jangkitan kuman secara berulang di sekeliling tonsil kerana bakteria membiak di kawasan berkenaan.

"Prosedur rawatan dengan mengeluarkan batu pada tonsil dan membersihkan kawasan terbabit daripada bakteria.

"Sekiranya langkah ini tidak berjaya, pesakit perlu menjalani pembedahan membuang tonsil itu," kata Dr Mawaddah.

Faktor lain kata beliau, termasuk kesan Refluk Peti Suara, terdapat pengeluaran asid berlebihan dalam perut naik ke peti suara.

Apabila asid sampai ke peti suara boleh menyebabkan perubahan fizikal kepada peti suara dan mulut atau nafas yang berbau busuk.

Pengeluaran asid berlebihan ini juga berpunca daripada pengambilan makanan yang mengandungi kandungan asid yang tinggi, masam dan pedas.

Kahak banyak berkumpul

Dr Mawaddah berkata, selain mulut berbau, pesakit turut mengalami masalah lain seperti kahak yang banyak pada tekak dan sentiasa berdehem untuk mengeluarkannya.

Pesakit katanya, mengalami kesan sakit pada tekak apabila bercakap berterusan dalam tempoh lama.

Rawatan boleh dijalankan menerusi kaedah mudah iaitu menukar gaya hidup serta pengambilan ubat-ubatan.

Penyakit refluks peti suara boleh dikawal dengan beberapa cara iaitu dengan mengurangkan berat badan atau obesiti.

"Apabila seseorang itu gemuk, lemak pada perut memberi tekanan kepada saluran makanan (gaster) menyebabkan asid penghadaman tertolak ke atas.

"Pesakit gastrik perlu mengubah corak pemakanan amal sajian lebih sihat bagi mengelakkan kesan refluks lebih buruk," katanya.

Elakkan makanan pedas, masam

Minuman mengandungi kafein seperti kopi atau punca injap di dalam salur pemakanan berada di dalam keadaan lebih anjal dan memudahkan asid naik ke atas peti suara, punca nafas berbau.

Pesakit refluks peti suara dinasihatkan tidak makan banyak pada satu masa kerana boleh memburukkan keadaan.

Minuman berkarbonat dan makanan mengandungi asam, pedas, penambah perisa dan pengawet menyebabkan pengeluaran asid berlebihan.

Cara membersihkan gigi supaya bebas bakteria;

  • Gunakan berus gigi berkepala kecil dan lembut
  • Gunakan flos atau berus yang boleh membersihkan celah gigi
  • Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida
  • Gunakan berus lidah

Mengenal pasti mulut berbau mulut atau sebaliknya;

  • Tiup pada tapak tangan dan hidu
  • Tiup pada cermin dan hidu
  • Tanya pada rakan atau keluarga rapat.

INFO

Punca nafas berbau

Mulut - 90 peratus

- Karies gigi

- Periodontitis

- Gigi palsu

- Ulser

- Kanser mulut, hidung dan tekak - 8 peratus

- Tonsilitis

- Tonsilolith

- Refluks peti suara

- Sinusitis

- Kanser

Salur pemakanan - 1 peratus

- Refluks esofagus,

- Hernia hiatal

Masalah sistemik - 1 peratus

- Kegagalan buah pinggang,

- Kencing manis

786 dibaca
Berita Harian X