Sabtu, 16 April 2016 | 6:54am

Berani untuk berubah pacu gelombang transformasi perkhidmatan awam


SEBAHAGIAN penjawat awam yang hadir mendengar ucapan Mohamad Zabidi di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini. - Foto RAMDZAN MASIAM

IZINKAN saya meneruskan wacana ini dengan berkongsi beberapa kisah kejayaan inisiatif transformasi yang dilaksanakan oleh JPA sejak tahun 2013.

Dalam kembara saya melaksanakan misi ini, saya sentiasa diperingatkan oleh bait-bait pantun yang mengajar saya supaya setiap usaha yang dilaburkan itu harus diakhiri dengan keberhasilan.

Orang berkebun kita berkebun;

Orang berbunga kita mendaun;

Orang bertekun kita bertekun;

Orang berguna kita berpulun.

Inisiatif pertama yang ingin saya kongsikan ialah pelaksanaan inisiatif Blue Ocean Leadership. JPA menerokai inisiatif strategik baharu yang dinamakan Blue Ocean Leadership atau B.O.L.

Diilhamkan dari konsep Blue Ocean Strategy oleh Profesor W Chan Kim dan Rene Mauborgne, B.O.L. adalah satu pendekatan sistematik bagi memantapkan amalan kepemimpinan ke arah memaksimumkan bakat dan modal insan dalam usaha meningkatkan prestasi organisasi.

Empat tahap pengurusan

Inisiatif B.O.L. menampilkan naratif baharu dalam wacana kepemimpinan global dengan memberi penegasan kepada empat pendekatan iaitu memfokus kepada tindakan dan aktiviti, berhubung rapat dengan realiti, kepemimpinan merentasi semua peringkat pengurusan serta membawa natijah atau impak yang tinggi dengan kos rendah.

Inisiatif B.O.L di JPA bermula pada Mac 2015 dengan menggunakan kepakaran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan JPA.

Pelaksanaan inisiatif ini menyaksikan pewujudan 32 orang profiling experts selaku penggerak B.O.L iaitu 125 orang responden dari pelbagai peringkat pengurusan di JPA dan INTAN; proses engagement dan temu bual selama lebih tiga bulan, termasuk melaksanakan analisis kualitatif ke atas transkrip yang dihasilkan; dan penghasilan 16 kanvas kepemimpinan merentasi empat tahap pengurusan di JPA.

Empat tahap pengurusan tersebut adalah Kepimpinan Transformatif dan Humanistik bagi Gred JUSA C dan ke atas, Kesiapsiagaan Pelapis Kepemimpinan bagi gred 48 hingga 54, Kepemimpinan Proaktif dan Analitikal bagi gred 41-44, dan Berpengetahuan dan Memimpin Dengan Ceria bagi gred 22 - 36.

Cadangan B.O.L@JPA dibentangkan sebanyak dua kali di National Blue Ocean Summit yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kini, pelaksanaan B.O.L kini berada pada peringkat penginstitusian dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti bagi mencapai aktiviti kepemimpinan utama yang dihasratkan oleh warga JPA.

Pencapaian gemilang ini meletakkan INTAN dan JPA pada persada global sebagai organisasi perkhidmatan awam pertama berjaya menerapkan amalan kepemimpinan lautan biru terbaik di JPA.

Hasil kejayaan inisiatif B.O.L di INTAN dan JPA, Perdana Menteri dalam NBOS Summit pada 24 Mac 2016 bersetuju agar pelaksanaannya diperluaskan kepada lima kementerian terpilih pada tahun ini.

Lima kementerian itu adalah Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Seterusnya adalah 1Malaysia Customer of Civil Servants atau 1Serve. JPA diberi mandat untuk menerajui inisiatif 1Serve dengan kerjasama Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau MAMPU, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

1Serve merupakan satu inisiatif transformasi yang digagaskan kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan dilancarkan pada 2 November 2015 yang lalu.

Tambah baik kaunter kerajaan

Ia merupakan penambahbaikan kepada perkhidmatan kaunter kerajaan yang mana sebelum ini mengamalkan konsep satu kaunter satu perkhidmatan kepada konsep satu kaunter pelbagai perkhidmatan. Ini adalah selaras dengan prinsip Doing More With Less For More.

Melalui pendekatan ini, tuan dan puan boleh mendapatkan semua perkhidmatan yang ditawarkan hanya melalui satu kaunter sahaja. Di Kaunter 1SERVE JPA4U, tuan dan puan bukan hanya boleh mendapatkan perkhidmatan JPA sahaja, malah boleh juga mendapatkan perkhidmatan merentas jabatan seperti perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Justeru, inisiatif ini melebarkan horizon perkhidmatan kaunter melalui suntikan nilai tambah yang signifikan dan di luar amalan biasa.

Pada masa ini, Kaunter 1Serve diperluaskan ke agensi dan lokasi tertentu. Sistem penyampaian petugas barisan hadapan di sektor awam juga diperkasakan dengan menerapkan lapan ciri utama penyampaian perkhidmatan iaitu senyum; mendengar; menunjukkan empati; psikologi berbalik; memahami pelanggan; kebersihan perkhidmatan; kepantasan dan kecekapan; penyelesaian masalah, serta kesungguhan dan pengetahuan melahirkan juara bertindak.

Inisiatif 1Serve ternyata memudahkan urusan rakyat dari segi penjimatan perbelanjaan dan masa. Bagi kita penjawat awam, 1Serve dapat memastikan kualiti perkhidmatan dan layanan yang diberikan kepada orang ramai adalah standard di seluruh negara.

Secara keseluruhannya, 1Serve menyediakan 14 perkhidmatan oleh JPA, empat perkhidmatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, lima perkhidmatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan dua perkhidmatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Oleh itu, daripada kaedah konvensional satu kaunter satu perkhidmatan, 1Serve membawa paradigma baharu penyampaian perkhidmatan menerusi pendekatan satu kaunter pelbagai perkhidmatan.

Alhamdulillah, pada Jumaat lepas, saya melancarkan 1Serve Transit Lounge @JPA4U sebagai nilai tambah kepada inisiatif 1Serve JPA4U. Melalui inisiatif ini, JPA menyediakan ruang menunggu kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan shuttle buggy.

Jasa pesara penjawat awam

Seterusnya adalah 1Pesara. Kita sering memperkatakan kebajikan penjawat awam, namun jangan sekali-kali dilupakan pesara yang banyak menyumbang dan berkorban ketika dalam perkhidmatan kerajaan.

Sehingga kini, jumlah pesara penjawat awam melebihi 739,000 orang termasuk 109,000 pesara tentera. Sehubungan itu, untuk menjaga kebajikan mereka, JPA telah memperkenalkan 1Pesara.

Inisiatif 1Pesara memberi fokus perkhidmatan kepada golongan pesara kerajaan dalam empat aspek utama iaitu kesihatan, keusahawanan, bekerja semula dan pengurusan kewangan.

Matlamat inisiatif ini adalah untuk membantu golongan pesara dan bakal pesara terus produktif dalam menyusuri alam persaraan; menyediakan perkhidmatan holistik dan merentasi pelbagai agensi; dan membantu kerajaan dalam menjelaskan dasar dan program kerajaan kepada rakyat.

Inisiatif ini kemudiannya dipermudahkan lagi dengan pembangunan portal 1Pesara yang menjadi pusat sehenti perkhidmatan pesara penjawat awam dengan pelbagai perkhidmatan, membabitkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dapat diperoleh di sini.

Dalam konteks ini, JPA turut memberi perhatian terhadap mereka yang bakal bersara melalui pelaksanaan kursus prapersaraan.

Menerusi kursus ini, bakal pesara diberi pendedahan secara komprehensif aspek yang bakal dihadapi oleh mereka selepas perkhidmatan. Salah satu pendekatan yang kita laksanakan bagi mendekati dan memahami golongan pesara adalah melalui program turun padang. Kelmarin, saya berkesempatan untuk sama-sama menziarahi tiga pesara kerajaan di Pulau Pinang.

Sebagai keprihatinan kerajaan terhadap nasib mereka, saya telah menyampaikan pelbagai sumbangan seperti kerusi roda, kaki palsu dan makanan keperluan harian kepada mereka bertiga.

Pelaksanaan Dasar Pemisah

Pelaksanaan Dasar Pemisah merupakan salah satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan merupakan mekanisme strategik kerajaan yang terbaik dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, produktif dan berintegriti.

Bagi memastikan dasar ini diterima oleh penjawat awam, JPA melaksanakan kaedah libat urus (engagement) dengan pelbagai pihak khususnya pihak Kongres CUEPACS, Majlis Bersama Kebangsaan dan Pengurusan Sumber Manusia.

Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri supaya perkhidmatan awam menekankan kepada produktiviti dan inovasi bagi mewujudkan sebuah negara berpendapatan tinggi. Pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi dalam persekitaran perkhidmatan awam yang kompetitif adalah perkara yang sentiasa diberikan penekanan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada penjawat awam.

Rasional pelaksanaan Dasar Pemisah adalah untuk mengekalkan pegawai yang komited dan berprestasi tinggi; meningkatkan daya saing dalam menghadapi cabaran persekitaran masa kini dan akan datang dan mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi dan berintegriti.

Dasar Pemisah ini menyediakan mekanisme untuk menamatkan perkhidmatan pegawai berprestasi rendah, serta mereka yang gagal mempamerkan kemajuan kerjaya atau mengalami masalah kesihatan menjejaskan keupayaan untuk menjalankan tugas.

Pelaksanaan dasar ini bukanlah satu bentuk penganiayaan kepada penjawat awam, tetapi bertujuan untuk membolehkan perkhidmatan awam meningkatkan lagi daya saingnya dalam mendepani cabaran persekitaran masa kini dan akan datang. Pegawai berprestasi tinggi tidak perlu bimbang. Dasar ini adalah bersifat developmental dan bukannya bersifat punitif.

Inisiatif flagship JPA4U merupakan program untuk menjalin hubungan lebih dekat dengan pelanggan melalui Khidmat Konsultasi Pengurusan Sumber Manusia, Turun Padang dan Libat Urus, Penyebaran Maklumat dan Khidmat Masyarakat. Antara program yang mendapat sambutan ramai ialah Karnival JPA4U (Penajaan) di MAEPS Serdang, JPA4U-Psycare Outreach Psikologi di Kangar Perlis, Misi Bantuan Kemanusiaan JPA4U (Kempen Derma Darah) dan Program Moh Senam JPA4U.

Pelaksanaan agenda transformasi perkhidmatan awam adalah bertujuan untuk meningkatkan imej serta mengubah persepsi pelanggan yang lebih positif kepada JPA melalui pengenalan pelbagai perkhidmatan baharu yang lebih mesra serta turun padang mendekati rakyat.

Menerusi pelaksanaannya, JPA4U dapat memupuk kerjasama berpasukan, persefahaman dan kekuatan warga JPA ke arah kelestarian transformasi agar kekal relevan. Menerusi pelbagai program unik dan aktiviti turun padang, JPA4U kini menjadi brand atau jenama yang meniti bibir setiap warga perkhidmatan awam, stakeholders dan masyarakat keseluruhannya.

Model baharu penajaan JPA 2016: Memperkasa modal insan,

memartabatkan institusi

pengajian tempatan

Model baharu penajaan JPA adalah satu lagi usaha strategik di bawah agenda transformasi perkhidmatan awam. Model itu dirangka berdasarkan empat teras utama iaitu merit dan inklusiviti; fokus kepada golongan B40, M40 dan technical & vocational education and training (TVET); pembangunan Malaysia sebagai hab pendidikan dan pulangan pelaburan.

Model baharu ini membolehkan penajaan dilaksanakan secara komprehensif merangkumi aspek merit dan kecemerlangan serta keperluan membantu golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40 terutama dalam bidang teknikal dan vokasional.

Di bawah model baharu ini juga, tumpuan akan diberikan kepada penajaan pelajar ke IPT dalam negara bagi menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Model baharu penajaan merangkumi enam program iaitu program penajaan nasional; program khas kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman; program ijazah dalam negara; program dermasiswa B40; program lepasan bursary; dan program bursary.

Sebagai langkah untuk memastikan pulangan setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan, mulai tahun 2016 program penajaan akan dilaksanakan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah kecuali bagi Program Dermasiswa B40.

Ia berteraskan prinsip pulangan pelaburan kepada negara (ROI) dalam memastikan kerajaan akan memperoleh bakat yang terbaik untuk perkhidmatan awam.

Secara keseluruhannya, Model Baharu Penajaan JPA 2016 dirangka bagi mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di IPT tempatan serta memfokuskan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan tinggi.

Rasionalisasi skim perkhidmatan

Inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh JPA ialah Rasionalisasi Skim Perkhidmatan bagi agensi persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia. Ini merupakan satu lagi inisiatif bersifat breakthrough di mana buat julung kalinya kesatuan sekerja khususnya CUEPACS memberikan kerjasama padu dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif ini.

Kerjasama ini jelas terpancar melalui kehadiran Presiden dan Pegawai Tertinggi serta Ahli Majlis Kongres CUEPACS sewaktu saya menandatangani Pekeliling Perkhidmatan 1/2016 pada 7 April 2016 yang lalu. Pepatah Melayu ada mengatakan 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.' Hakikatnya, untuk mencapai kata sepakat dalam menjayakan rasionalisasi 252 skim ini, pelbagai ranjau dan onak terpaksa dilalui.

Sepanjang kajian ini dijalankan bermula pada tahun 2013 sehingga 2016, kita sudah mengadakan 87 rundingan melalui sesi libat urus yang begitu menyeluruh dan intensif melibatkan ketua perkhidmatan, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan termasuk setiausaha kerajaan negeri, ketua agensi, majlis bersama kerajaan, kesatuan sekerja dan badan profesional yang berkaitan.

Inisiatif ini melibatkan penambahbaikan terhadap 252 skim perkhidmatan sedia ada yang merangkumi 1.61 juta penjawat awam. Rasional di sebalik inisiatif ini adalah untuk menarik dan mengekal modal insan terbaik, menambah baik mobiliti dan kemajuan kerjaya, mewujudkan fleksibiliti dalam urusan perkhidmatan penjawat awam, mengemas kini syarat lantikan supaya relevan dengan keperluan semasa, memperkemaskan pengurusan skim perkhidmatan dan memperuntukkan kelayakan TVET dalam skim perkhidmatan.

Menerajui transformasi perkhidmatan awam

Profesor Raymond Miles dan Profesor Charles Snow, dua tokoh akademik tersohor memperkenalkan empat kategori kepemimpinan dalam karya Groundbreaking bertajuk Organizational Strategy, Structure and Process iaitu Defenders, Analyzers, Reactors dan Prospectors. Sifat kepemimpinan Defenders lebih cenderung untuk mengekalkan status quo dan selesa untuk berada dalam domain sedia ada demi mengekalkan kestabilan organisasi.

Kepemimpinan Analyzers agak berhati-hati untuk keluar dari kepompong kebiasaan dan mengambil masa untuk melakukan perubahan. Reactors pula sering kali memberi tindak balas negatif terhadap perubahan dan ketidaktentuan persekitaran, sekali gus menjejaskan prestasi serta keupayaan organisasi.

Berbanding dengan tiga bentuk kepemimpinan sebelumnya, Prospectors lebih inovatif, dinamik dalam menjuarai perubahan dan mengungguli persaingan. Jelas kepemimpinan Prospectors membolehkan organisasi melebarkan sempadannya dan menjadi perintis dalam meneroka peluang baharu.

Justeru, untuk memacu gelombang transformasi perkhidmatan awam, saya mengambil pendekatan Prospectors yang sentiasa berani untuk berubah, merapatkan jeriji silo dan melebarkan sempadan tindakan.

Dalam menggalas misi ini, JPA memilih untuk merintis laluan mengambil pendekatan road less travelled dalam menggerakkan transformasi Perkhidmatan Awam.

Berasaskan kepada testimoni kejayaan yang sayahujahkan tadi, JPA diberi peranan dan tanggungjawab untuk menerajui perancangan dan pelaksanaan inisiatif dan program ke arah mentransformasikan perkhidmatan awam untuk produktiviti sebagaimana termaktub di dalam bab ke sembilan RMK-11.

Ini merupakan satu lagi lakaran sejarah dalam Perkhidmatan Awam Negara di mana JPA buat julung kalinya diberi tanggungjawab untuk menggalas amanah mentransformasikan Perkhidmatan Awam ke arah menyediakan Perkhidmatan Awam berprestasi tinggi dalam mendokong aspirasi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Melunasi tanggungjawab paling besar iaitu kesejahteraan rakyat sebagai matlamat akhir, maka saya mengajak semua hadirin agar dapat memperhebat rentak kecemerlangan, memantapkan barisan kepemimpinan, memperkukuhkan jalinan permuafakatan sebagai landasan menuju ke destinasi kejayaan.

Dalam hubungan ini, saya penuh yakin dan percaya seluruh warga USM yang berada di hadapan saya pada pagi ini, bersedia untuk mendakap kemas iltizam dan cita-cita bagi menjayakan agenda Transformasi Perkhidmatan Awam demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, inklusif dan lestari.

Dengan lafaz kalimah wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, saya akhiri sesi syarahan perdana ini.

Berita Harian X