Sabtu, 16 April 2016 | 4:32pm
Penyampai Radio, Feeya Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Feeya Iskandar kalut urus majlis pernikahan


Penyampai Radio, Feeya Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Ketika tarikh pernikahannya semakin mendekati, penyampai radio Sinar FM yang juga finalis Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29, Feeya Iskandar, 27, terus diburu kesibukan.

Selain tugas hakiki sebagai penyampai radio menerusi segmen, Santai Sinar bersama Salih Yaakob, Feeya juga bertindak sebagai pengacara belakang pentas untuk program realiti, Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Hanya mempunyai hujung minggu untuk menguruskan persediaan majlis pernikahannya dengan Nurashid Abd Wahab pada 6 Mei ini, ada ketika, niat itu terpaksa dilupakan kerana Feeya atau nama sebenarnya, Nor Syafiza Iskandar Azizan terikat dengan tugasan lain.

Dalam kekalutan itu, Feeya bersyukur kerana keluarganya memahami malah sentiasa membantu apabila dirinya tertekan disebabkan terpaksa menguruskan banyak perkara.

"Saya bekerja di ibu kota, manakala majlis pernikahan pula akan diadakan di kediaman keluarga di Pasir Gudang, Johor. Setiap minggu, jika tidak terikat dengan komitmen kerjaya, saya akan pulang ke kampung untuk menguruskan majlis pernikahan. Kebelakangan ini, jadual saya semakin sibuk menjelang tarikh pernikahan.

"Saya anggap tawaran mengacara pada hujung minggu itu sebagai rezeki. Biarpun penat kerana bekerja dan pada masa sama, memastikan segala persiapan lengkap sebelum pernikahan berlangsung, saya tidak pernah merungut. Tawaran diterima itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan majlis perkahwinan.

"Alhamdulillah, ketika saya hampir kehilangan kudrat, keluarga banyak membantu. Mereka sentiasa memastikan semua perancangan berjalan lancar. Biarpun tidak punya banyak masa, saya puas menguruskan sendiri segala persiapan perkahwinan," katanya.

Bertunang pada 5 Disember lalu, Feeya tidak menyangka perkenalan singkat ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Klang, Selangor pada Mei tahun lalu, membawa mereka ke gerbang perkahwinan.

"Sejak itu, kami saling berhubung dan cuba mengenali hati budi. Yakin dengan kejujuran bakal suami, membuatkan saya tidak mengambil masa yang lama untuk menerima lamarannya. Alhamdulillah kerana keluarga juga tidak mempunyai halangan.

"Pengalaman lalu juga menyebabkan kami tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk bercinta. Kiranya, nanti kami bercinta selepas berkahwin," katanya.

Masih ingin meneruskan minatnya selepas mendirikan rumah tangga nanti, Feeya bagaimanapun, akur kerjaya akan menjadi perkara kedua kerana perlu mengutamakan segala keperluan suami.

Berita Harian X