Isnin, 18 April 2016 | 9:03pm

Bekalan makanan tidak cukup susulan gempa Jepun


TENTERA Jepun membawa bekalan bantuan untuk mangsa gempa bumi di perkampungan Minamiaso. - Foto Reuters

KUMAMOTO: Kekurangan bekalan makanan semakin buruk di pusat perlindungan di sini hari ini ketika puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Jepun minggu lalu, sementara pejabat pentadbiran tempatan bergelut beroperasi berikutan kerosakan dialami.

Pekerja penyelamat terus mencari mangsa hilang di perkampungan Minamiaso di sini di mana kerosakan akibat gempa dan tanah runtuh agak meluas, sementara tentera Amerika Syarikat (AS) menghantar bekalan kecemasan menggunakan pesawat kontroversi Osprey.

Sejumlah 42 maut dan kira-kira 1,100 orang cedera di sini serta tempat lain di pulau Kyushu sejak gempa 6.5 magnitud Khamis lalu, diikuti gempa 7.3 magnitud Sabtu lalu. Sembilan orang masih hilang di bandar ini.

Secara keseluruhan, lebih 530 gempa susulan berlaku sejak Khamis lalu di sini dan daerah berhampiran Oita. Menurut polis, sejumlah 400 rumah runtuh sepenuhnya dan banyak lagi rosak.

Gegaran kerap menambah kebimbangan berhubung keselamatan loji jana kuasa nuklear di Kyushu.

Namun pengerusi Pihak Berkuasa Penyelia Nuklear, Shunichi Tanaka berkata hari ini, penyelia tidak berhasrat mengarahkan pemberhentian loji jana kuasa nuklear Kyushu Electric Power Co Sendai di daerah berhampiran Kagoshima kerana tidak wujud isu keselamatan.

Loji di Sendai adalah satu-satunya yang beroperasi di Jepun selepas kerajaan meningkatkan standard keselamatan susulan gempa bumi dan tsunami 2011, mencetuskan peleburan di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun.

Menurut kerajaan tempatan, sehingga pagi ini, kira-kira 105,000 penduduk masih berlindung di pusat perlindungan di sini, menurun daripada kira-kira 110,000 tengah hari semalam. Namun ramai masih kekal di situ berikutan gegaran susulan.

Ketika gempa bumi dan banjir lumpur memutuskan laluan, kebanyakan bekalan tidak sampai ke kedai tempatan dan pusat perlindungan. Banyak laporan diterima mengatakan pusat perlindungan gagal menyediakan sarapan kepada mangsa hari ini.

Kerajaan tempatan bercadang menggandakan bekalan makanan kecemasan kepada 1.8 juta hidangan berbanding 900,000 pada awalnya. -Agensi

Berita Harian X